Tuesday, April 29, 2008

Bhg akhir 4: Dato’ Fadzil Noor(1937 – 2002)

Oleh: Saari Sungib abuurwah@gmail.com

Perhimpunan 100,000 Rakyat

Perhimpunan 100,000 Rakyat yang diadakan pada 5 November 2000 adalah satu perhimpunan aman anjuran aktivis yang menyokong BA daripada parti- parti politik, NGO dan Reformasi.

PAS di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor telah memberi sokongan yang padu untuk menjayakan perhimpunan ini.

Ini berlaku apabila Ustaz Fadzil Noor membenarkan setiausaha politiknya, Dr. Mohd Hatta Ramli, untuk terlibat sebagai salah seorang ahli jawatankuasa penganjur.
Ustaz Fadzil Noor juga telah mengarahkan Setiausaha Agung PAS, Ustaz Nasharuddin Md Isa untuk mengeluarkan surat kepada setiap PAS Negeri untuk mengerahkan ahli-ahli PAS turun untuk menjayakan perhimpunan aman tersebut.

Sokongan yang diberikan serta komitmen Ustaz Fadzil Noor sendiri untuk hadir ke perhimpunan tersebut telah menyebabkan pemimpin-pemimpin utama parti-parti politik bersetuju untuk turut serta.

Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti KeADILan Nasional, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP dan Dr. Syed Husin Ali, Presiden PRM turun bersama-sama rakyat menyertai perhimpunan aman tersebut.

Apabila laluan ke tempat perhimpunan disekat oleh polis, keempat-empat pemimpin utama parti-parti politik Barisan Alternatif itu turun daripada kenderaan masing-masing dan berjalan bersama-sama puluhan ribu rakyat di atas Lebuhraya KESAS.
Solidariti keempat-empat pemimpin BA berjalan di barisan hadapan perarakan itu, benar-benar menyuntik semangat kepada rakyat tentang betapa mantapnya gandingan dan kerjasama BA.

Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor dan para pemimpin BA menunjukkan contoh semangat yang kental apabila mereka berjalan sejauh hampir lima kilometer di atas Lebuhraya yang sudah tiada kenderaan boleh melaluinya lagi itu.
Apabila tiba di tempat yang sudah tidak boleh lagi dilalui kerana sekatan polis, semua para pemimpin diundang untuk membuat ucapan.

Pada hari itu, Ustaz Fadzil Noor berucap di atas tembok pemisah lebuhraya dengan dikelilingi oleh kira-kira 100,000 rakyat.

Dalam ucapanya yang penuh semangat itu, Ustaz Fadzil Noor menyeru agar semua rakyat bersatu untuk berjuang mengembalikan hak mereka yang sudah dicabul dan dirampas oleh Dr. Mahathir dan kerajaan UMNO-BN.

Apabila lebih seratus orang ditahan oleh polis kerana menyertai perhimpunan aman tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah mengarahkan Dr. Mohd Hatta Ramli untuk mengendalikan urusan ikat jamin dan pembebasan mereka daripada lokap.

Sokongan terhadap perhimpunan aman di Lebuhraya KESAS ini diteruskan oleh Ustaz Fadzil Noor dengan merintis penubuhan Gerakan Mansuhkan ISA (GMI).

GMI ditubuhkan apabila pengerusi dan ahli-ahli serta penggerak utama Jawatankuasa Perhimpunan 100,000 Rakyat ditahan di bawah ISA pada 10 April 2001.

Demonstrasi aman seperti ini adalah suatu yang tidak asing bagi Ustaz Fadzil Noor. Ini kerana masa mudanya lagi, iaitu pada tahun 1974, beliau telah pun terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling.

Bahkan, pada akhir-akhir hayatnya pun beliau masih menggagahkan diri untuk hadir bersama rakyat dalam perhimpunan-perhimpunan aman.

Sebulan sebelum beliau meninggal dunia, Ustaz Fadzil Noor telah hadir dalam perhimpunan aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur membantah tindakan Amerika mahu menyerang Iraq.

Dalam perhimpunan aman tersebut, pihak polis FRU telah mengganas menyerang orang ramai dengan tembakan gas pemedih mata dan semburan air berkimia.

Ustaz Fadzil Noor terkena gas pemedih mata dengan teruk sekali. Sejak itu kesihatannya sangat terganggu.

Menurut setiausaha politik dan doktor peribadinya, Dr. Mohd Hatta Ramli, sejak itu kesihatannya semakin merosot hinggalah beliau memerlukan pembedahan dan seterusnya menghembuskan nafas terakhir.

Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.

Pencapaian Sebagai Ahli Politik Islam dan Sumbangan kepada Gerakan Islam

Pembabitan awal Ustaz Fadzil Noor dalam politik pilihanraya bermula pada tahun 1978. Beliau bertanding dalam pilihanraya untuk merebut kerusi Parlimen Kuala Kedah dan DUN Alor Merah.

Pada tahun 1980, dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Raya, sekali lagi beliau menjadi calon PAS untuk merebut kerusi tersebut. Beliau gagal dalam kedua-dua percubaan ini.
Hanya dalam pilihanraya tahun 1982, Ustaz Fadzil Noor memenangi kerusi DUN Bukit Raya dan seterusnya mempertahankan kerusi tersebut selama empat penggal berturut-turut.

Pada pilihanraya tahun 1999, Ustaz Fadzil Noor menang kerusi Parlimen Pendang dan juga kerusi DUN Anak Bukit.

Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor PAS mengalami kejayaan paling besar sepanjang sejarah penglibatan dalam pilihanraya.

Pada pilihanraya tahun 1999, PAS memenangi 27 kerusi Parlimen dan 98 kerusi DUN.
Dengan kedudukan tersebut, Ustaz Fadzil Noor telah dipilih sebagai Ketua Pembangkang di Parlimen. Beliau merupakan pemimpin kedua daripada PAS yang memegang peranan tersebut.

Sejak peranan ketua pembangkang diwujudkan di Parlimen oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak pada tahun 1972, Dato’ Mohd Asri adalah orang pertama daripada PAS yang menjadi Ketua Pembangkang.

Di peringkat politik dalam negeri, Ustaz Fadzil Noor telah berjaya mewujudkan beberapa pakatan politik atau tahaluf siyasi. Antaranya CCC, Angkatan Perpaduan Ummah dan Barisan Alternatif.

Beliau juga telah berjaya mewujudkan pakatan politik yang bertujuan khusus menentang kezaliman ISA melalui penubuhan GERAK dan GMI, Gerakan Mansuhkan ISA.
Di peringkat serantau beliau memainkan peranan untuk mewujudkan permuafakatan di kalangan kumpulan-kumpulan Islam di Indonesia.

Selepas tercetusnya Reformasi Indonesia dan jatuhnya Presiden Suharto, maka telah muncal banyak parti-parti yang berteraskan Islam di Negara tersebut.
Ustaz Fadzil Noor mengambil inisiatif dan langkah diplomasi bertemu pemimpin parti-parti tersebut dan mengsyorkan agar mereka tidak membentuk terlalu banyak parti berteraskan Islam di sana.

Ustaz Fadzil Noor juga telah berjaya menempatkan PAS sebarisan dengan gerakan-gerakan Islam dan parti-parti politik Islam di peringkat antarabangsa.
Ustaz Fadzil Noor menegaskan:

”PAS sebagai sebuah jamaah Muslimin dan wadah kepada perjuangan umat, adalah satu daripada mata rantai Gerakan Islam seluruh dunia. Ia bersama-sama dengan Ikhwan Muslimin di Mesir, Jamaati Islami di benua kecil India, Refah Party di Turki, FIS di Algeria, HAMAS di Palestin dan lain-lain harakah Islam di seluruh dunia, mendukung perjuangan Islam dan bangun bersama Islam serta merealisasikan corak hidup Islam”

Di peringkat politik antarabangsa juga, Ustaz Fadzil Noor tegas dan lantang menentang kerakusan dan dasar-dasar kejam kuasa Amerika dan Barat.

Dalam isu Palestin, Israel, Chechnya, Afghanistan
dan Iraq, PAS di bawah teraju Ustaz Fadzil Noor mengambil pendirian yang cukup lantang dan jelas.

Tidak sedikit pemimpin dan ahli-ahli PAS semasa menyatakan pendirian dalam isu-isu antarabangsa melalui ceramah dan demonstrasi aman yang telah ditangkap dan dimasukkan ke dalam lokap.

Pendiriannya yang jelas dan tegas terhadap isu-isu antarabangsa yang melibatkan umat Islam telah menyuntik semangat juang yang tinggi di kalangan ahli-ahli dan penyokong-penyokong PAS.

Dalam masa yang sama Ustaz Fadzil Noor juga amat teliti dengan isu-isu tempatan. Sebagai contoh, beliau amat cermat menangani isu hak istimewa orang Melayu di negara ini.

Mengambil hujah daripada tindakan Khalifah Umar bin Al-Khattab semasa pemerintahannya, Ustaz Fadzil Noor menegaskan terdapat hak istimewa seumpama ini demi menjaga kepentingan penduduk asal tempatan khususnya yang tidak berada.
Demikian juga ketika berlaku kes Mohamad Sabu menjelang pilihanraya 1995. Setelah mengadakan mesyuarat yang teliti, Ustaz Fadzil Noor mencadangkan satu tindakan disiplin diambil.

Mohamad Sabu diminta meletakkan jawatan daripada parti dan keputusan ini diterima baik oleh Mohamad Sabu.

Langkah ini dilakukan demi mengekalkan kewibawaan PAS dan mengelakkan tohmahan terhadapnya.

Selepas kes itu selesai dan mahkamah mendapati Mohamad Sabu tidak bersalah, maka ternyata langkah yang diambil oleh Ustaz Fadzil Noor telah menguntungkan PAS dan perjuangan Islam.

Ustaz Fadzil Noor juga meneruskan tradisi muslimat PAS diberikan amanah untuk menjadi calon dalam pilihanraya. Penampilan muslimat dari pelbagai lapisan latar belakang dan kerjaya telah melonjakkan imej PAS sepanjang PAS diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor.

Ustaz Fadzil Noor juga amat berjaya di bidang dakwah dan pendidikan. Selaku Pesuruhjaya PAS Kedah pada tahun 1985 beliau telah membeli sebuah estet kecil seluas 35 ekar untuk dijadikan sebuah institusi pengajian tinggi Islam.

Institusi ini dinamakan Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah.

Pada masa yang sama Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena yang didirikan oleh Ustaz Fadzil Noor adalah setanding kehebatannya pada zaman kegemilangan Maahad Al-Ehya Al-Sharif yang diasaskan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Muassasah Darul Ulum menampilkan pelbagai kemelut pergeresan di antara PAS dengan UMNO, kerajaan Pusat dan kerajaan Negeri Kedah.

Beberapa orang pemimpin Pemuda PAS ditahan di bawah ISA dalam ketegangan isu Muassasah Darul Ulum. Bahkan, Ustaz Fadzil Noor sendiri ditahan polis ketika berceramah di Jerlun mengenai isu Muassasah.

Kembali ke Rahmatullah

Ustaz Fadzil Noor kembali ke rahmatullah pada pagi 23 Jun 2002 setelah dua minggu mengalami koma selepas pembedahan yang dijalaninya.

Dengan arahan kerajaan Pusat, jenazahnya diterbangkan dengan pesawat Tentera Udara DiRaja Malaysia ke Kedah.

Jenazah dibawa ke Muassasah Darul Ulum, institusi ilmu yang diasas dan diperjuangkannya.

Pada hari beliau dikebumikan pada malam 23 Jun 2002, hampir setengah juta orang berkumpul di situ.

Dari Alor Setar hingga ke kawasan itu, hampir 30km orang ramai penuh sesak di sepanjang jalan menunggu jenazahnya lalu.
Malah pada ketika terakhir jenazah hendak dikebumikan, tiada lagi kenderaan dapat bergerak sepanjang hampir 10km menuju ke Muassasah Darul Ulum.

Tidak kurang 50,000 orang menunaikan solat jenazahnya pada malam itu. Ia dikira satu rekod terbesar dalam sejarah umat Islam di negara ini.

Bhg 3: Dato’ Fadzil Noor(1937 – 2002)

Saari Sungib | abuurwah@gmail.com |

Tahaluf Siyasi dan Reformasi

Ustaz Fadzil Noor meneruskan tradisi perjuangan mengekalkan perpaduan demi menjaga kemaslahatan Islam dan negara yang telah diasaskan oleh pemimpin-pemimpin awal PAS.

Usaha Dr. Burhanuddin Helmy mewujudkan pakatan dengan lebih 80 buah parti dan pertubuhan Melayu bagi mewujudkan PUTERA atau Pusat Tenaga Rakyat adalah satu contoh yang gilang gemilang.

PUTERA dipengerusikan oleh Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) dengan Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebagai penggerak utama di belakangnya.
Melalui PUTERA, Dr. Burhanuddin Al-Helmy mewujudkan pula pakatan politik dengan Tan Cheng Lok yang menerajui AMCJA.

Kemuncak perjuangan PUTERA-AMCJA yang dipengerusikan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah hartal atau boleh dikatakan pada hari ini sebagai civil disobedience.
Hartal melibatkan 450,000 anggota dalam gabungan jaringan PUTERA-AMCJA.
Apabila pakatan PUTERA-AMCJA dilihat membahayakan penjajah British, maka undang-undang Darurat pun dikuatkuasakan.

Sepanjang tempoh Darurat, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah terhalang daripada menggerakkan sebarang pakatan politik.

Sebaliknya Tan Cheng Lok mula berjinak-jinak dengan UMNO dan akhirnya pakatannya dengan pemimpin-pemimpin UMNO membolehkan MCA ditubuhkan.

Pada tahun 1959, Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga telah mengadakan pakatan politik dengan pengasas UMNO sendiri iaitu Dato’ Onn Jaafar yang telah meninggalkan parti itu.
PAS telah memberi kerusi kepada Dato’ Onn untuk bertanding sebagai calon Parti Negara di Terengganu dan beliau menang.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga telah mengadakan pakatan politik dengan bekas ahli-ahli UMNO dalam pilihanraya 1959, di antaranya dengan Khatijah Sidek.
Khatijah Sidek akhirnya menyertai PAS dan bertanding di atas tiket PAS dan memenangi kerusi Parlimen Dungun dalam pilihanraya tersebut.

Demikian juga dengan Prof Zulkifli Muhammad di mana beliau merupakan pemimpin PAS pertama yang mencadangkan agar PAS menerima kaum Cina dan orang bukan Islam sebagai ahli bersekutu PAS.

Ketika menggerakkan pakatan CCC, Ustaz Fadzil Noor telah meminta pasukan penyelidikan PAS mengkaji semula pandangan atau mana-mana penulisan Prof Zulkifli Muhammad berkenaan isu penyertaan kaum bukan Islam dalam PAS.

Walaupun timbul beberapa krisis dalaman PAS dengan kemasukan PAS dalam kerajaan campuran dan Barisan Nasional pada zaman kepimpinan Dato’ Mohd Asri, Ustaz Fadzil Noor tetap berpendirian bahawa ianya adalah satu langkah bagi mewujudkan pakatan politik yang menjadi amalan politik PAS.

Berbekalkan tradisi tahaluf siyasi seperti inilah yang mendorong Ustaz Fadzil Noor mewujudkan pakatan dengan Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dalam Angkatan Perpaduan Ummah.

Hasil daripada tahaluf siyasi ini, PAS berjaya memerintah Kelantan.
Demikian juga apabila berlakunya Reformasi berikutan pemecatan Anwar Ibrahim. Tradisi yang diwarisi daripada pemimpin-pemimpin terdahulu dan pengalamannya sendiri, menjadikan Ustaz Fadzil Noor mengorak langkah bagi mewujudkan tahaluf siayasi dengan penyokong-penyokong Anwar Ibrahim.

Bermula dengan GERAK, seterusnya Ustaz Fadzil Noor merintis penubuhan Barisan Alternatif yang merupakan satu tahaluf siyasi ke arah pembentukan Malaysia Baru.
Langkah tersebut telah membawa hasil yang begitu besar kepada PAS dan perjuangan Islam pada pilihanraya 1999.

PAS mengekalkan kuasa di Kelantan dan berjaya mewujudkan kerajaan di Terengganu.
Pendekatan tahaluf siyasi yang diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor juga bersumber daripada warisan kepimpinan terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa.

Di bawah teraju kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah membuka ruang bagi pemimpin-pemimpin pelapis PAS untuk mewujudkan pakatan-pakatan politik yang boleh memenangkan dakwah dan politik Islam.

Kerjasama dan pakatan dengan pertubuhan dan aktivis kaum Cina hingga tertubuhnya CCC adalah satu dayacipta keterbukaan dan kesederhanaan kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa.
Ustaz Fadzil Noor juga sering mengingatkan pemimpin dan ahli-ahli PAS bahawa PAS adalah berakarumbi daripada perjuangan Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol.

Tatkala menyebut Hizbul Muslimin, sekali gus Ustaz Fadzil Noor mengingatkan pemimpin dan ahli-ahli PAS bahawa tradisi kepimpinan ulama’ sebenarnya bersumber daripada perjuangan dan pengorbanan para ulama’ angkatan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Keberanian dan sikap terbuka Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dalam merintis pelbagai tahaluf siyasi seperti PEPERMAS, MATA, LEPIR dan seumpamanya menjadi iktibar bagi perjuangan PAS yang diterajui oleh Ustaz Fadzil Noor.

Jika ada kesinambungan dan kesepaduan di antara perjuangan yang dirintis oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Prof Zulkifli Muhammad dan Tuan Guru Yusof Rawa, maka Ustaz Fadzil Noor menterjemahkannya dalam realiti politik pada masanya.

Demikian juga, jika usaha Dr. Burhanuddin Al-Helmy berjaya menggabungkan lebih 80 buah parti dan persatuan Melayu dalam PUTERA untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah, Ustaz Fadzil Noor pula telah berjaya mewujudkan gabungan lebih 80 buah parti politik dan NGO melalui GMI untuk mendesak kerajaan memansuhkan undang-undang warisan penjajah, ISA!

Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, PAS terus bergerak menjadikan tahaluf siyasi sebagai satu amalan utama dalam pergerakan siyasahnya.

Menentang Kezaliman ISA

Kezaliman ISA adalah suatu yang tidak asing lagi bagi Ustaz Fadzil Noor.
Ini kerana semasa beliau menjadi Timbalan Presiden ABIM, beliau terpaksa memangku jawatan Presiden ABIM apabila Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA selama dua puluh bulan bermula dari tahun 1974.

Sekali lagi setelah Anwar Ibrahim ditahan dan dibelasah oleh Ketua Polis Negara pada malam 20 September 1998, keesokan harinya rakan lamanya itu diumumkan telah ditahan di bawah ISA.

Ustaz Fadzil Noor memahami benar bahawa ISA adalah senjata politik pemerintah.
ISA digunakan untuk melindungi kepentingan politik pemerintah. ISA juga digunakan untuk menutup jenayah pemerintah.

Meneruskan dasar PAS terhadap ISA daripada kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa, Ustaz Fadzil Noor terus melonjakkan PAS dalam sikap dan pendiriannya terhadap kezaliman ISA.

Ustaz Fadzil Noor mempengerusikan mesyuarat menentang ISA ekoran penahanan Anwar Ibrahim dan beberapa penyokongnya bermula dari 20 September 1998.
Mesyuarat itu diadakan di Markaz Tarbiah PAS, Taman Melewar dan dihadiri oleh wakil-wakil daripada PAS, PRM, DAP dan NGO daripada PUM, ABIM, JIM, SUARAM dan lain-lain.
Mesyuarat yang diadakan pada 25 September itu memutuskan untuk mendesak kerajaan membebaskan segera semua tahanan ISA dan memansuhkan ISA.
Mesyuarat bersetuju sebulat suara untuk menubuhkan Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK.

Di bawah kepimpinan Ustaz Fadzil Noor, GERAK dilancarkan pada 27 September 1998 di Markaz Tarbiah, Taman Melewar.

Puluhan ribu rakyat dan ratusan wartawan dari dalam dan luar negara hadir ke majlis pelancaran tersebut.

Dalam Ucapan Dasar di Muktamar PAS ke-45 pada Mei 1999, Ustaz Fadzil Noor menegaskan:

”Kejayaan PAS menggabungkan parti politik dan NGO dalam satu gerakan yang disebut Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia atau GERAK, cukup untuk membuktikan keupayaan kepimpinan PAS menerajui kebangkitan rakyat di negara ini”

Ustaz Fadzil Noor berulang kali menegaskan, sama ada dalam ceramah mahupun dalam perbahasan di Parlimen, bahawa ISA bersama-sama undang-undang zalim yang lain seperti OSA, Akta Polis dan Akta Cetak adalah undang-undang yang mencabul hak asasi rakyat di negara ini.

Bhg 3 daripada 4 Bhg

Bhg 2: Dato’ Fadzil Noor(1937 – 2002)

Drp 4 Bhg.
Saari Sungib |abuurwah@gmail.com|

Menangani Fatwa Syuhada’ Memali

Semasa tercetusnya tragedi Memali, tugas menangani kes tersebut telah diserahkan oleh Tuan Guru Yusof Rawa kepada Ustaz Fadzil Noor. Beliau pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Persoalan paling utama kepada Ustaz Fadzil Noor pada masa itu adalah bagaimana jenazah hendak diurus? Adakah mereka syuhada’?. Sekiranya mereka mati syahid, jenazah mereka tidak perlu dimandi, dikapan dan disolat-jenazahkan.

Ustaz Fadzil Noor terus menemui Tuan Guru Haji Omar, seorang alim yang sangat disegani di Baling. Menurut Tuan Guru Haji Omar, Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sah mati syahid.

Ustaz Fadzil Noor merujuk lagi kepada Tuan Guru Haji Yahya Joned, ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah dan menantunya Ustaz Azahari Abdul Razak, ahli Majlis Agama Islam Negeri Kedah. Kedua mereka adalah pimpinan ulama’ PAS Kedah.

Mereka berdua menyokong pendapat Tuan Guru Haji Omar.

Ustaz Fadzil Noor seterusnya cuba mendapatkan pengesahan daripada Majlis Fatwa Negeri Kedah tetapi dalam waktu yang suntuk Majlis Fatwa tidak dapat mengadakan mesyuarat.

Dengan itu jenazah Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang rakan-rakannya dikebumikan sebagai para syuhada’.

Dua minggu kemudian Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati syahid dan dianggap sebagai syibghul bughah.

Seterusnya Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sebagai bughah, atau penderhaka.

Ustaz Fadzil Noor mengatakan jika pihak kerajaan menganggap mereka tidak syahid, kerajaan mesti bertindak menggali kubur, memandi, mengkafan dan menyembahyang-jenazahkan mereka!

Untuk meredakan keadaan, Sultan Kedah telah perkenan menziarahi pusara Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya.

Berikutan itu Ustaz Fadzil Noor mengulas:

”Mana ada raja perkenan menziarah kubur orang derhaka? Macam Hang Jebat yang dianggap derhaka kepada Raja Melaka, tidak pernah ada raja-raja dari dulu hingga sekarang ziarah kubur Hang Jebat”

Tindakan terhadap Ibrahim Libya adalah untuk mengelakkan pengaruhnya dan pengaruh PAS berkembang agar UMNO tidak tergugat di Baling.

Tetapi tanpa Ibrahim Libya pun, akhirnya Baling jatuh ke tangan PAS pada pilihanraya 1999.

Dalam debat Parlimen, isu Memali dibangkitkan oleh UMNO. Pihak yang mengatakan Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya tidak syahid mencabar supaya Ustaz Fadzil Noor menggali pusara syuhada itu, sama ada hancur atau tidak jenazah mereka.

Ustaz Fadzil Noor lantas menjawab:

”Kami percaya mereka syahid, kami tidak perlu menggali kuburnya. Yang Berhormat yang tidak percayalah yang patut menggalinya untuk melihat badan mereka hancur atau masih segar”

Memantapkan Konsep Kepimpinan Ulama’

Kepimpinan Ulama’ diasaskan semasa kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sebagai Yang Dipertua dengan Ustaz Fadzil Noor sebagai timbalannya.

Di bawah kepimpinannya, Ustaz Fadzil Noor menekankan agar golongan ulama’ hendaklah sentiasa berusaha untuk melayakkan diri menjadi pemimpin dan PAS memberikan perhatian supaya institusi ulama’ mesti disokong dan didaulatkan.

Ustaz Fadzil Noor berpandangan bahawa kepimpinan PAS akan lebih terbuka dan lebih banyak dipikul oleh golongan intelektual masa depan, namun konsep kepimpinan ulama’ akan terus menjadi teras.

Dengan itu Ustaz Fadzil Noor tetap menekankan perihal pentingnya penghayatan kepimpinan ulama’.

Sejak kepimpinan ulama’ diketengahkan, PAS berjaya menawan dua buah negeri iaitu Kelantan dan Terengganu.

Kedua-dua negeri ini telah memberikan penghormatan kepada ulama’ untuk menjadi Menteri Besar.

Kehadiran Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang ke Parlimen juga merupakan satu penampilan tokoh ulama’ yang berwibawa dan amat dikagumi.

Kempen Menambah 500,000 Ahli

Setelah menjadi Presiden, Ustaz Fadzil Noor menyedari bahawa walaupun setelah 40 tahun usia PAS, jumlah keahliannya baru mencecah 300,000 orang.

Pada tahun 1990, beliau melancarkan kempen menambahkan keahlian PAS kepada 500,000 orang dalam tempoh lima tahun.
Sasaran ini adalah sebelum pilihanraya tahun 1995.

Dalam satu Ucapan Dasarnya, Ustaz Fadzil Noor menyarankan supaya pemimpin-pemimpin di semua peringkat hendaklah memastikan agar ada cawangan PAS di setiap kampung, di setiap taman perumahan dan di setiap lorong.
Ustaz Fadzil Noor menegaskan hendaklah ada sekurang-kurangnya seorang ahli PAS dalam setiap rumah.

Ustaz Fadzil Noor membuktikan arahannya itu dilaksanakan di kawasannya sendiri di DUN Bukit Raya. Di Bukit Raya, cawangan-cawangan PAS jauh melebihi cawangan-cawangan UMNO.

Pada Jun 1995, keanggotaan PAS telah mencecah 400,000.

Walaupun jumlah tersebut tidak memenuhi sasarannya, namun purata penambahan 2,000 orang ahli sebulan telah dapat dicapai.

Ledakan pertambahan ahli ini walau bagaimanapun berlaku setelah tercetusnya Reformasi ekoran pemecatan Anwar Ibrahim.

Purata penambahan ahli PAS untuk beberapa bulan berikutnya adalah antara 10,000 hingga 15,000 orang sebulan.

Pelaksanaan Hudud

Enakmen Syariah II Kelantan yang termasuk di dalamnya hukum hudud telah dikemukakan oleh Kerajaan PAS Kelantan semasa kepimpinan Ustaz Fadzil Noor.
Ustaz Fadzil Noor menjelaskan bahawa PAS telah mengumumkan hasratnya untuk melaksanakan syariat Islam termasuk hudud sejak ia ditubuhkan pada tahun 1951.
Para pemimpin PAS sejak itu tidak pernah berselindung mengenai cita-cita tersebut.
Hasrat ini telah disebut dalam ceramah dan manifesto-manifesto pilihanraya PAS.
Ustaz Fadzil Noor menjelaskan bahawa PAS dalam melaksanakan syariat Islam tidak pernah bersikap terburu-buru.

Contohnya, kerajaan Kelantan telah mengambilkira pandangan awal Perdana Menteri yang pernah membuat kenyatan bahawa beliau bersedia memberi laluan kepada Kelantan untuk melaksanakan hudud.

Kerajaan Kelantan juga mengambil kenyataan bekas Timbalan Perdana Menteri yang menyebut kononnya UMNO tidak menentang hudud.

Pandangan parti-parti bukan Melayu juga diberi perhatian.

Ketua Dewan Ulama’ sebagai sifatnya Menteri Besar Kelantan telah membuka pintu pejabatnya untuk berdialog dengan ketua-ketua agama dan politik serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

Ustaz Fadzil Noor menegaskan bahawa kerajaan Kelantan telah mencatat sejarah apabila rang enakmen itu dibenarkan untuk dibahas dalam seminar terbuka oleh pelbagai pihak sebelum dibentangkan dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan.

Tetapi malangnya UMNO tidak kelihatan.

Ustaz Fadzil Noor telah membidas perbuatan mereka dengan mengatakan bahawa Barisan Nasional yang mendakwa sebagai juara demokrasi sebenarnya belum berani untuk menghadapi rakyat seperti yang dilakukan oleh kerajaan Kelantan.

Ustaz Fadzil Noor turut menyelar tindakan UMNO menolak enakmen tersebut serta pakatan mereka untuk menggagalkan pelaksanaan syariat Islam di negeri Kelantan.

Bhg 1: Dato’ Fadzil Noor(1937 – 2002)

Latar Belakang

Fadzil@Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah.

Ayahnya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Abdul Rahman meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil.

Moyangnya Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi adalah seorang ulama’ terkenal di Kedah yang berasal dari Patani.

Ustaz Fadzil Noor mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga (1946-1949).

Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Maktab Mahmud Alor Setar (1949-1958) dan peringkat tinggi (1958-1962).

Setelah tamat pengajiannya di Maktab Mahmud, Ustaz Fadzil Noor menjadi guru di Sekolah Menengah Badlishah, Kulim, Kedah. Kemudian beliau bertugas sebagai pegawai di Jabatan Zakat Negeri Kedah.

Pada tahun 1962, Ustaz Fadzil Noor melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir. Pada tahun 1967 beliau berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Sekembalinya dari Mesir, Ustaz Fadzil Noor menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud (1967-1973) dan pada tahun 1973 menerima tawaran sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

Penglibatan Awal


Bakat kepimpinan Ustaz Fadzil Noor terserlah bila beliau bergerak cergas dalam persatuan pelajar dan terkenal sebagai pemidato yang pintar dan dihormati di Maktab Mahmud.

Ketika di Mesir Ustaz Fadzil Noor memimpin Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai ketua penerangan, setiausaha dan akhirnya sebagai timbalan presiden.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).

Ustaz Fadzil Noor juga pernah menjadi setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Kedah.

Semasa memimpin ABIM, Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974.

Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.

Penglibatan dalam PAS

Ustaz Fadzil Noor mula terlibat dengan PAS pada tahun 1959 ketika masih menuntut di Maktab Mahmud. Beliau membantu calon-calon PAS dalam pilihanraya tahun tersebut.

Ustaz Fadzil Noor juga dalam kempen tersebut sering mengikuti ceramah-ceramah Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhammad.

Ustaz Fadzil Noor seterusnya dilantik menjadi YDP PAS Kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan Negeri PAS Kedah.

Jawatan tertinggi yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor adalah:

· Naib Yang Dipertua (1979-1983)



· Timbalan Yang Dipertua (1983-1989)



· Presiden PAS (1989-2002)

Ustaz Fadzil Noor mula menjadi Yang Dipertua pada 31 Mac 1989. Nama jawatan Yang Dipertua PAS ditukar menjadi Presiden PAS pada masa beliau.

Ditahan Polis


Dalam perjuangan menegakkan kebenaran, Ustaz Fadzil Noor pernah ditahan dua kali oleh pihak polis.

Pada penghujung tahun 1970an, ketika sedang berucap dalam majlis ceramah di Kg Seberang Takir, Terengganu, tiba-tiba pihak polis mengumumkan bahawa ceramah tersebut adalah perhimpunan haram.

Turut hadir dalam ceramah itu adalah Ustaz Abdul Hadi Awang, Mustafa Ali dan Ustaz Fadhullah Shuaib.

Tanpa menghiraukan amaran tersebut, Ustaz Fadzil Noor meneruskan ceramahnya dengan memberi peringatan kepada pihak polis tentang sebuah hadith Nabi s.a.w.

Sepasukan polis terus menyerbu dan menahan Ustaz Fadzil Noor beserta para penceramah lain.

Mereka terus dibawa ke balai di bandar Kuala Terengganu malam itu juga. Bermalamlah Ustaz Fadzil Noor di lokap pada malam itu.

Lewat malam itu juga Pemuda PAS memobilisasi sokongan dan menjelang subuh kira-kira 15,000 orang ahli dan penyokong PAS telah berkumpul di luar kawasan balai polis Kuala Terengganu.

Mereka mendesak pemimpin-pemimpin mereka dibebaskan segera.

Perundingan antara beberapa orang wakil PAS dengan pihak polis diadakan. Hasilnya, Ustaz Fadzil Noor dan pemimpin-pemimpin yang ditahan dalam lokap tersebut dibebaskan tanpa sebarang tindakan.

Sekali lagi Ustaz Fadzil Noor ditahan oleh pihak polis adalah dalam ceramah di Jerlun, Kedah. Peristiwa ini berlaku ketika kes Muassasah Darul Ulum menjadi isu panas di antara PAS dengan UMNO di Kedah.

Ustaz Fadzil Noor ditahan semasa berceramah. Beliau ditahan bersama Hj. Shaari, YDP PAS Kawasan Jerlun dan dikenakan ikat jamin. Kesnya terus dibawa ke mahkamah.

Walau bagaimanapun kes ini digugurkan berikutan kematian Hj. Shaari.

Orang Kanan Tuan Guru Yusof Rawa


Dalam perjuangan bersama-sama PAS, terutamanya sejak era peralihan kepimpinan, Ustaz Fadzil Noor sentiasa berseiringan jalan dengan Tuan Guru Yusof Rawa.

Selepas pilihanraya tahun 1978 lagi, ketika Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama, Ustaz Fadzil Noor menjadi Naib Yang Dipertua kedua.

Semasa Tuan Guru Yusof Rawa berjaya memenangi jawatan Timbalan yang Dipertua parti dalam tahun 1981, Ustaz Fadzil Noor pula menduduki jawatan Naib Yang Dipertua pertama.

Apabila Majlis Syura Ulama’ diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Ustaz Fadzil Noor bersama-sama Tuan Guru Yusof Rawa mewakili Jawatankuasa PAS Pusat untuk duduk dalam Majlis Syura Ulama’.

Ketika Tuan Guru Yusof Rawa dipilih menjadi Mursyidul Am yang pertama, bebanan tugas Yang Dipertua telah dilaksanakan sebahagiannya oleh Ustaz Fadzil Noor.

Demikian juga semasa Tuan Guru Yusof Rawa uzur menjelang saat-saat akhir beliau memegang jawatan Yang Dipertua, maka Ustaz Fadzil Noor merupakan orang yang menjalankan tugas-tugas teraju utama parti.

Ustaz Fadzil Noor merupakan orang yang paling kehadapan membantu Tuan Guru Yusof Rawa semasa PAS berhadapan dengan krisis peralihan kepimpinan dan tragedi Memali.

Ustaz Fadzil Noor juga menjadi pembantu utama semasa Tuan Guru Yusof Rawa merintas konsep kepimpinan ulama’ dan mengukuhkan asas-asas harakah Islamiyyah dalam PAS.

Ustaz Fadzil Noor adalah orang kanan Tuan Guru Yusof Rawa sepanjang perjuangan mereka bersama-sama dalam PAS.

Bhg 2:Tuan Guru Yusof Rawa(1922 – 2000)

Saari Sungib |abuurwah@gmail.com|

Pindaan Perlembagaan 1983

Setelah memantapkan PAS di segi dalaman, Tuan Guru Yusof Rawa berusaha meletakkan semula PAS sebagai sebuah parti politik Islam yang berwibawa di negara ini.


Peluang tersebut muncul apabila Dr. Mahathir Mohamad mengambil langkah untuk menyekat kuasa raja-raja Melayu melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1983.

Tuan Guru Yusof Rawa menerajui PAS membantah langkah Dr. Mahathir.
PAS mengambil sikap mempertahankan hak raja-raja Melayu dan menyekat pembolotan kuasa kerajaan yang cuba dilakukan oleh Dr. Mahathir.
Tindakan ini sekali gus berjaya menampilkan PAS sebagai juara umat Islam dan bangsa Melayu.

Walaupun langkah ini diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa, dasar PAS tetap selaras dengan Islam. Ini kerana sepanjang sesi 1984-85, PAS di bawah pimpinan Tuan Guru Yusof Rawa sering berbicara mewakili golongan mustadafin dan menentang golongan mustakbirin.

Dalam tempoh tersebut, PAS memperkenalkan secara terbuka perjuangan menegakkan keadilan dan menentang kefasadan.

Seterusnya pada tahun 1985, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS meningkatkan kempen menentang segala bentuk asabiyyah, terutama asabiyyah UMNO dan Barisan Nasional.

Kebijaksanaan Tuan Guru Yusof Rawa merebut peluang daripada langkah Dr. Mahathir untuk menyekat hak raja-raja Melayu telah memberi ruang yang seluasnya bagi beliau menempatkan PAS kembali sebagai sebuah parti politik dan gerakan Islam yang relevan dan berwibawa di negara ini.

Tragedi Memali

Tragedi Memali yang tercetus pada 18 November 1985, berlaku semasa PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa.

Tragedi ini merupakan pembunuhan kejam Ustaz Ibrahim Libya dan tigabelas muridnya akibat serangan kira-kira 4,000 anggota polis.

Empat anggota polis turut terkorban.

Tragedi Memali bermotifkan politik.

Peristiwa ini berlaku apabila sokongan orang Melayu yang semakin meningkat terhadap PAS lantaran penerimaan mereka terhadap kewibawaan PAS dan kepimpinan ulama’.
Tragedi Memali didahului sebelum itu dengan beberapa operasi penahanan ISA terhadap tokoh-tokoh Pemuda PAS.

Tuan Guru Yusof Rawa dengan tenang menangani tragedi di Memali. Tugas ini diserahkannya dengan penuh bijaksana kepada timbalannya, Ustaz Fadzil Noor, yang juga pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Di bawah kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa, PAS menegaskan bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya gugur sebagai syuhada’.

Pendirian ini dipertahankan oleh Tuan Guru Yusof Rawa walaupun Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati syahid dan dianggap sebagai syibghul bughah.

Apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sebagai bughah, atau penderhaka, Tuan Guru Yusof Rawa tetap cekal mempertahankan pendirian PAS bahawa mereka semua adalah mati syahid.

Menentang Kezaliman ISA

Semasa PAS diterajui oleh Tuan Guru Yusof Rawa, pemimpin-pemimpin PAS terutama tokoh-tokoh Pemuda sering berhadapan dengan tangkapan di bawah ISA.
Semasa Dato’ Mohd Asri Muda menerajui PAS, pendirian PAS terhadap ISA adalah seperti yang diungkapkan sendiri olehnya sebagai:

”PAS merasakan betapa perlunya undang-undang itu bagi sebuah negara merdeka yang masih muda seperti Persekutuan Tanah Melayu demi menjaga keamanan negara dan mengawasi serta mencegah gerakan subversif, apatah lagi gerakan komunis yang amat memerlukan pengawasan dan prihatin daripada seluruh rakyat yang cintakan keamanan.
Sikap ini menjadi bukti kerana sekalipun PAS berada di pihak pembangkang, PAS tidaklah mengambil sikap menentang secara melulu, mentang-mentang menjadi golongan pembangkang, maka semua yang datang daripada kerajaan ditentang”

Berlainan dari zaman Dato’ Mohd Asri Muda, di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, PAS mengambil sikap dan pendirian yang berbeza terhadap ISA.

Perubahan ini ketara dalam Ucapan Dasar Tuan Guru Yusof Rawa pada tahun 1985. Di mana katanya:

”Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri yang diluluskan oleh Parlimen dan pindaan-pindaan yang telah dibuat ke atasnya lebih kejam lagi. Undang-undang ini tidak terikat kepada mana-mana prinsip sekalipun, kecuali kepada keinginan Menteri Dalam Negeri. Mangsanya dihukum tanpa memerlukan apa-apa pembuktian, sama ada dari yang dituduh atau yang menuduh”

Menyentuh penahanan pemimpin-pemimpin muda PAS seperti Ustaz Abu Bakar Chik, Abdul Razak Daud, Mohamad Sabu, Ustaz Bunyamin Ya’kub dan Suhaimi Said, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan:

”Penahanan mereka hanyalah semata-mata di atas keinginan Menteri Dalam Negeri yang didesak berulang kali oleh wakil-wakil dalam Perhimpunan Agung UMNO
Bahaya kepada UMNO dianggap sebagai bahaya kepada keselamatan negara. Kemerosotan sokongan kepada UMNO dianggap perpecahan dan ancaman yang membahayakan orang-orang Melayu. Inilah lojik dan cara berfikir pemimpin yang mengamalkan prinsip diktator berparlimen”
”Undang-undang ini nyata sekali bertentangan dengan keadilan”

Dalam Ucapan Dasar pada tahun 1988, menyentuh tangkapan ISA terhadap sepuluh orang pemimpin muda PAS di bawah Operasi Lalang, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan:

”Sebenarnya tindakan ini bukan kerana keselamatan negara, tetapi adalah kerana muslihat pemimpin-pemimpin yang sudah terpisah dari orang ramai, terpisah dari perjuangan rakyat dan partinya sendiri, malah terpencil dari kliknya sendiri
ISA pada prinsipnya adalah undang-undang yang zalim kerana ia tidak memberi peluang membela diri kepada mangsanya dalam apa bentuk pun”

Dasar yang diambil oleh Tuan Guru Yusof Rawa terhadap ISA adalah jelas berdasarkan prinsip.

PAS menolak ISA kerana ia zalim!

Kejelasan pendirian dalam isu ISA inilah yang diwarisi oleh Ustaz Fadzil Noor ketika menerajui PAS.

Sumbangan kepada Gerakan Islam: Sikap Terbuka dan Sederhana

Sumbangan terbesar Tuan Guru Yusof Rawa terhadap gerakan dan perjuangan Islam di Malaysia adalah di atas tindakannya untuk mengukuhkan serta menempatkan kembali PAS dalam arus perdana politik dan dakwah di negara ini.
Kepimpinannya yang terbuka memberi ruang yang seluas-luasnya kepada tokoh dan tenaga muda pelapis dalam PAS untuk melakar dan mencorakkan peta baru perjuangan Islam di Malaysia melalui PAS.

Konsep kepimpinan ulama’ yang diterajuinya memartabatkan kedudukan gerakan Islam di atas paksi ilmu, syaksiyyah dan akhlak mulia pemimpin-pemimpin yang tinggi cita-cita perjuangan Islamnya.

Peralihan daripada sebuah gerakan yang dianggap sebagai nasionalis Islam kepada sebuah harakah Islamiyyah telah menarik minat golongan teknokrat, intelektual, para lepasan universiti tempatan dan luar negara serta pelbagai lapisan pencinta perjuangan Islam di negara ini.

Tuan Guru Yusof Rawa turut memberi ruang yang luas kepada barisan pimpinan pelapis untuk meneroka kerjasama politik dengan kaum bukan Islam.

Beliau merintis jalan ke arah penubuhan CCC atau Chinese Consultative Council.
Dalam konteks pengukuhan unsur-unsur dalaman PAS, Tuan Guru Yusof Rawa membuka ruang seluas-luasnya kepada pendekatan tarbiyyah dan harakiyyah.

Pendedahannya di luar negara serta pengetahuannya tentang perjuangan gerakan Islam seperti Ikhwan Muslimin dan gerakan-gerakan pembebasan yang lain, memberi keupayaan kepada Tuan Guru Yusof Rawa untuk mencorakkan gerakerja haraki dalam PAS.

Sikap ini telah berjaya memberi laluan kepada pendokong-pendokong Islam daripada pelbagai latar belakang untuk menyertai dan terlibat aktif dalam PAS.

Demikian juga bagi mereka yang mendokong pendekatan Revolusi Islam Iran. Sikap terbuka dan sederhana Tuan Guru Yusof Rawa telah memberi ruang bagi mereka terlibat memberi sumbangan perjuangan Islam dalam PAS.

Di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa menegaskan bahawa apa yang boleh dianuti adalah semangat revolusi di segi menentang penindasan pemerintah yang zalim, tetapi bukan di segi anutan mazhabnya.

Namun di sebalik sikap terbuka dan sederhananya, PAS di bawah teraju kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa tidak pernah berkompromi dengan kezaliman, penindasan dan kemungkaran.

Pendirian inilah yang menampilkan identiti PAS sebagai parti politik Islam dan sebuah harakah Islamiyyah.

Di bawah teraju Tuan Guru Yusof Rawa, ditegaskan dengan jelas bahawa kepimpinan ulama’ bukan sahaja membawa makna kepimpinan mesti diterajui oleh ulama’.

Hakikat yang lebih utama adalah kepimpinan ulama’ berkehendakkan kepada kandungan perjuangan yang berteraskan ciri-ciri tarbiyyah, dakwah, ilmu dan satu pergerakan atau harakah yang menjadikan cita-cita Islam sebagai paksinya.
Jelas, di bawah kepimpinannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah meletakkan paksi penting perjuangan PAS selepas mengambilalih daripada Dato’ Mohd Asri Muda.

Pencapaian Sebagai Ahli Politik Islam

Kemenangan awal dalam penglibatan politik Tuan Guru Yusof Rawa ialah pada pilihanraya tahun 1969 apabila berjaya mengalahkan Dr. Mahathir Mohamad bagi kerusi Parlimen Kota Setar Selatan.

Sebelum penyertaan PAS dalam kerajaan Perikatan lagi, Tuan Guru Yusof Rawa telah diberikan kepercayaan oleh Tunku Abdul Rahman pada awal tahun 1970an untuk menganggotai delegasi negara melawat umat Islam di Taiwan.

Perlantikan ini dilakukan oleh Tunku Abdul Rahman memandangkan kemampuan Tuan Guru Yusof Rawa bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Apabila PAS menyertai kerajaan campuran dengan Perikatan pada tahun 1973, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik sebagai wakil Malaysia ke PBB untuk membahaskan isu-isu antarabangsa yang melibatkan Malaysia.

Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah menjadi Konsul Kehormat Iraq di Pulau Pinang.
Beliau tinggal selama setahun di New York untuk mewakili negara di PBB.

Sekembalinya dari New York beliau menyertai pilihanraya tahun 1974 dan menang tanpa bertanding.

Sejurus selepas itu, sebagai salah seorang pemimpin kanan dalam parti, beliau dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan Utama.

Menterinya pada masa itu adalah Tan Sri Musa Hitam.

Perlantikan ini menjadikan Tuan Guru Yusof Rawa sebagai anak Melayu Pulau Pinang pertama menjawat jawatan politik setinggi itu.

Selepas itu, Tuan Guru Yusof Rawa dilantik pula sebagai Duta Besar Malaysia ke Iran. Ketika itu Shah Iran masih memerintah Iran.

Dengan tugas sebagai Duta ke Iran, Tuan Guru Yusof Rawa juga ditauliahkan ke Turki dan Afghanistan.

Semasa menjalankan tugas tersebutlah Tuan Guru Yusof Rawa belajar bahasa Farsi dan bahasa Perancis di samping mengekalkan kefasihannya dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab.

Apabila PAS dikeluarkan daripada Barisan Nasional pada tahun 1978, Tuan Guru Yusof Rawa kembali dari Iran pada tahun 1979 apabila tamat tempoh khidmatnya.

Tuan Guru Yusof Rawa kemudian memilih berkhidmat dengan PAS dan meninggalkan kerajaan.

Tuan Guru Yusof Rawa juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Pulau Pinang pada tahun 1992.

Penghormatan Terakhir

Tuan Guru Yusof Rawa menghembuskan nafas terakhir setelah solat subuh pada hari Jumaat, 28 April 2000.

Penuh sesak orang membanjiri Masjid Gelugor pada solat Jumaat dan solat jenazah untuk Tuan Guru Yusof Rawa.

Sepanjang jalan dari Gelugor ke Kampong Makam yang terletak di pinggir bandar Georgetown dipenuhi oleh orang ramai yang datang untuk memberi penghormatan terakhir.

Kaum Cina dan India juga datang untuk memberikan penghormatan terakhir. Turut hadir adalah Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Koh Tsu Koon.

Pada penghujung hayatnya, Tuan Guru Yusof Rawa menyaksikan penzaliman yang dilakukan terhadap Anwar Ibrahim. Beliau mendoakan agar Anwar bersabar dan tabah di atas penzaliman tersebut.

Apa yang dihadapi oleh Anwar Ibrahim itu ditegaskan oleh Tuan Guru Yusof Rawa sebagai kemuncak kezaliman Dr. Mahathir yang tidak dapat lagi membezakan antara kebinatangan dan kemanusiaan!

Bhg 1:Tuan Guru Yusof Rawa(1922 – 2000)

Saari Sungib |abuurwah@gmail.com |

Latar Belakang

Yusof bin Haji Abdullah dilahirkan di Lebuh Acheh, Pulau Pinang pada 8 Mei 1922.
Bapanya adalah seorang pedagang yang merantau dari Sumatera berdagang Al-Quran, kitab-kitab dan alat-alat kegunaan untuk ibadat seperti tasbih, sejadah dan lain-lain.

Pendidikan awal Tuan Guru Yusof Rawa bermula di Sekolah Melayu Jalan Carnavon dan kemudiannya di Sekolah Charausta.

Pendidikan menengah beliau ialah di Government English School dan kemudiannya di Penang Free School sehingga lulus peringkat Junior Cambridge.
Selepas itu bapanya menghantar beliau ke Makkah untuk menuntut dalam bidang agama.

Semasa tercetusnya Perang Dunia Kedua, Tuan Guru Yusof Rawa terus menetap di Makkah untuk mendalami pengetahuan agama. Beliau menetap di sana selama 12 tahun.

Menghadapi Ujian

Semasa Jepun menyerang Tanah Melayu, kawasan tempat tinggal keluarga Tuan Guru Yusof Rawa dihujani dengan bom dari pesawat udara Jepun.

Bapanya, Hj Abdullah Hj Nordin sempat menyelamatkan anak-anak dan isterinya.
Walau bagaimanapun, tatkala keluar sekali lagi untuk mengambil sesuatu yang masih tertinggal di kedainya, sebutir bom gugur dekat dengannya.

Hj Abdullah terkorban dan tubuhnya berkecai.

Peristiwa itu berlaku semasa Tuan Guru Yusof Rawa berada di Makkah.
Semasa di Makkah di zaman remajanya, Tuan Guru Yusof Rawa juga pernah diburu oleh pihak polis Masjidil Haram. Beliau terpaksa bersembunyi beberapa hari untuk mengelakkan daripada ditangkap polis.

Peristiwa ini berlaku ekoran perkelahian di antara anak-anak Jawi dengan remaja Arab Makkah.

Sekembalinya Tuan Guru Yusof Rawa dari Makkah, beliau menerbitkan majalah Al-Islah. Di atas kegiatannya ini beliau ditahan oleh penjajah Inggeris yang mengesyaki beliau terbabit dengan gerakan Islah di Mesir.

Penglibatan dalam PAS

Tuan Guru Yusof Rawa mendaftar menjadi ahli seumur hidup pada awal penubuhan PAS iaitu pada tahun 1951.

Pada tahun 1959 beliau dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang.

Beliau kemudian dipilih untuk menduduki Jawatankuasa Pusat yang ketika itu didominasi oleh pemimpin-pemimpin dari Pantai Timur dan Kedah.

Sejak dari zaman Dr. Burhanuddin Al-Helmy lagi, Tuan Guru Yusof Rawa sudah pun dianggap sebagai salah seorang pemimpin kanan PAS.

Menjelang penghujung tahun 1970an, Tuan Guru Yusof Rawa menjadi Naib Yang Dipertua pertama dan Naib Yang Dipertua kedua adalah Ustaz Fadzil Noor.

Krisis kepimpinan dalam PAS menyaksikan Timbalan Yang Dipertua, Ustaz Hassan Adli mengosongkan jawatannya. Tuan Guru Yusof Rawa mencabar Dato’ Abu Bakar Omar untuk jawatan tersebut tetapi kalah.

Pada tahun 1981, Tuan Guru Yusof Rawa bertanding sekali lagi untuk jawatan Timbalan Yang Dipertua PAS dan menang.

Pergolakan PAS pada tahun 1982 telah memaksa Dato’ Mohd Asri Muda meletakkan jawatan.

Jawatan Yang Dipertua PAS telah dipangku oleh Tuan Guru Yusof Rawa.
Dalam Muktamar PAS ke-29 pada tahun 1983, Tuan Guru Yusof Rawa telah sebulat suara dilantik Yang Dipertua PAS.

Apabila Majlis Syura Ulama’ diwujudkan melalui pindaan Perlembagaan PAS, Tuan Guru Yusof Rawa telah dipilih sebagai Mursyidul Am yang pertama pada tahun 1987.

Di atas sebab-sebab kesihatan, Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua pada tahun 1989 tetapi kekal memegang jawatan sebagai Mursyidul Am.
Tuan Guru Yusof Rawa melepaskan jawatan sebagai Mursyidul Am pada tahun 1993.

Jawatan itu dipegang seterusnya oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, selaku Mursyidul Am PAS yang kedua.

Menangani Krisis Peralihan

Tuan Guru Yusof Rawa mengambil alih kepimpinan ketika PAS berhadapan bukan hanya dengan kemelut dalaman PAS tetapi juga dalam angkatan gerakan Islam.

Kemelut dalaman PAS berlaku apabila terpinggirnya Dato’ Asri dan angkatan pemimpin-pemimpin eranya. Ekoran itu berlaku pula tindakan dan ancaman terhadap PAS daripada penyokong-penyokong Dato’ Mohd Asri.

Kemelut dalaman di kalangan angkatan gerakan Islam pula berlaku apabila rakan kongsi perjuangan Islam, Anwar Ibrahim daripada ABIM membuat keputusan untuk menyertai UMNO.

Tuan Guru Yusof Rawa amat kecewa apabila Anwar Ibrahim mengambil keputusan menyertai UMNO. Dalam perbualan telefonnya dengan Anwar, Tuan Guru Yusof Rawa menyatakan: ”...tindakan anda itu umpama menikam kami dari belakang”

Dengan pendedahan dan pengalamannya yang luas, dimantapkan dengan sikap keterbukaan dan kesederhanaannya, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menampung kemelut ini sehingga PAS berjaya ditempatkan dalam arus perdana perjuangan Islam di negara ini.

Pendekatan dan mesej perjuangan Islam yang dibawa oleh Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya menarik minat angkatan muda dan pencinta-pencinta perjuangan Islam menyertai PAS.

Dalam menangani era peralihan ini, Tuan Guru Yusof Rawa amat beruntung kerana dibantu oleh tokoh-tokoh besar seperti Ustaz Fadzil Noor, Ustaz Abdul Hadi Awang, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Ustaz Hasan Shukri, Mustafa Ali dan tokoh-tokoh muda PAS yang lainnya.

Menangani Gejala Dalaman

Setelah melepaskan jawatan sebagai Yang Dipertua, Dato’ Mohd Asri Muda balik ke Kelantan dan mengadakan perjumpaan terbuka dengan penyokongnya mengecam pimpinan baru regu Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil Noor.

Kumpulan ini mengancam untuk bertindak menggempur pimpinan baru PAS. Laporan yang diterima dari Kelantan melihat ancaman itu membahayakan perpaduan jamaah.
Demi menjaga keutuhan parti, Tuan Guru Yusof Rawa melalui mesyuarat Jawatankuasa Disiplin telah membuat satu keputusan yang amat berat sekali.

Keputusan tegas dan berani telah dibuat dengan Ustaz Hasan Shukri selaku Setiausaha Agung telah mengeluarkan surat kepada Dato’ Mohd Asri Muda yang menyebut:

”Jawatankuasa Disiplin parti menggantung keahlian saudara daripada menjadi ahli Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mulai dari tarikh keputusan ini dibuat sehingga kepada masanya diberitahu kelak.
Dengan demikian maka terlucutlah segala hak keahlian saudara dalam PAS seperti yang disebutkan oleh Fasal 14(10(a) hingga (e) mula tarikh di atas, 9 Rabiul Akhir 1403/23 Januari 1983 hingga masanya diberitahu kelak”

Bersama-sama Dato’ Mohd Asri Muda yang dikenakan tindakan disiplin ialah 12 orang lagi yang mana ada di antaranya dipecat, digantung dan diberi amaran.
Sebahagian besar daripada mereka adalah ahli Jawatankuasa Agung.
Tindakan ini dikira sebagai tindakan paling berani yang diambil oleh gandingan kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa dan Ustaz Fadzil demi menyelamatkan parti daripada ancaman krisis.

Mengasaskan Kepimpinan Ulama’

Isu kepimpinan ulama’ timbul dalam PAS apabila krisis melanda PAS di bawah kepimpinan Dato’ Mohd Asri Muda, terutama pada tempoh terakhirnya.
Ia bermula dengan polimik apakah PAS parti Islam atau parti nasionalis?
Walaupun PAS tidak pernah berganjak bahawa ia adalah sebuah jamaah Islam, namun pandangan yang melihat PAS sebagai lebih kepada arah nasionalis amat berpengaruh pada era Dato’ Mohd Asri Muda.

Pertembungan pemikiran ini melemahkan daya tahan pimpinan angkatan Dato’ Mohd Asri Muda.

Ada yang berpandangan bahawa malang yang merundung PAS ialah kerana ia tidak dipimpin oleh ulama’.

Tidak pula dinafikan pengaruh daripada kepimpinan ulama’ dalam Revolusi Iran mempengaruhi suasana dalam PAS pada masa itu.
Kejayaan umat Islam meruntuhkan rejim zalim Shah Iran dilihat sebagai kejayaan cemerlang kepimpinan ulama’.

Dalam suasana inilah tampil tokoh besar dalam PAS seperti Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat dan tokoh-tokoh pelapis seperti Ustaz Fadzil Noor dan Ustaz Abdul Hadi Awang.
Berlatarbelakang senario ini, Tuan Guru Yusof Rawa merintis jalan ke arah kepimpinan ulama’.

Sikap keterbukaan dalam gaya kepimpinan Tuan Guru Yusof Rawa telah menjadikan seluruh lapisan keahlian menerima dan terus memartabatkan kepimpinan ulama’ dalam PAS.

Dengan itu, Tuan Guru Yusof Rawa telah berjaya memantapkan paksi perjuangan PAS sebagai parti politik Islam, gerakan dakwah dan harakah Islamiyyah melalui konsep kepimpinan ulama’.

Sambungan Bhg 2

Bhg 2: Dr. Burhanuddin Al-Helmy(1911 – 1969)

Saari Sungib |abuurwah@gmail.com |

Menyertai dan Memimpin PAS

Ketika PAS ditubuhkan pada bulan Ogos 1951, Dr. Burhanuddin Al-Helmy masih dalam tahanan penjara di Singapura.

Apabila Yang Dipertua Agung Pas yang pertama, Ustaz Ahmad Fuad melepaskan jawatannya pada tahun 1953 tugas memimpin PAS diambilalih oleh Dr. Hj Abbas Alias.
PAS di bawah kepimpinan Dr. Abbas tidak begitu lama, iaitu hanya selama 3 tahun 2 bulan sahaja. Ini adalah disebabkan Dr. Abbas tidak dapat bergerak aktif kerana masih terikat dengan jawatannya di dalam perkhidmatan kerajaan, iaitu sebagai seorang pegawai perubatan.

Angkatan muda dalam PAS pada masa itu yang antaranya terdiri daripada Ustaz Othman Abdullah, Ustaz Hasan Adli, Ustaz Abdul Wahab Noor dan Mohd Asri Muda telah mengadakan mesyuarat tidak rasmi berhubung dengan jawatan utama PAS.

Mereka bersepakat bahawa tidak ada orang yang lebih tepat memimpin PAS pada masa itu selain daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Ketika itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy hanya bergiat cergas mempromosi Parti Rakyat Malaya di seluruh Tanah Melayu. Ini bermakna, Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak ada sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik.

Pada bulan Disember 1956 satu perwakilan yang terdiri daripada Ustaz Abdul Wahab Noor dan Ustaz Baharuddin Latiff telah diutus bertemu Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Beliau bersetuju untuk menyertai PAS.

Terdapat juga catatan yang menyatakan bahawa tugas ini dilaksanakan oleh Pesuruhjaya PAS Johor, Hj Said Abdul Hadi yang diamanahkan oleh Ustaz Hasan Adli untuk mendapatkan persetujaun bertulis daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan meminta beliau mengisi borang PAS.

Walau bagaimanapun, sebelum itu pun memang sudah terdapat persetujuan tidak rasmi di kalangan mereka bertiga agar Ahmad Boestamam menerajui Parti Rakyat Malaya, Ishaj Haji Muhammad (Pak Sako) menerajui Parti Buruh dan Burhanuddin bin Al-Helmy menerajui PAS. Jadi pelawaan daripada pemimpin-pemimpin PAS kepada Burhanuddin Al-Helmy adalah tepat pada masanya.

Demokrasi dalam PAS

Setahun sebelum Dr. Burhanuddin Al-Helmy menyertai PAS, beberapa orang pemuda juga telah pergi ke Kuala Kangsar untuk bertemu dengan Prof Zulkifli Muhammad. Tujuan mereka adalah untuk mempelawanya menyertai PAS.

Prof Zulkifli Muhammad menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1955.

Dalam Muktamar PAS ke-5 pada 25 Disember 1956, terdapat dua pencalonan bagi jawatan Yang Dipertu Agung, iaitu Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhammad.

Daripada kawasan-kawasan Prof Zulkifli Muhammad mendapat pencalonan yang lebih banyak daripada Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Keadaan ini adalah disebabkan terdapat ahli-ahli PAS pada masa itu yang bimbang dengan latarbelakang politik Dr. Burhanuddin Al-Helmy sebelum menyertai PAS.

Sebahagian ahli PAS lebih selesa jika PAS dipimpin oleh Prof Zulkifli Muhammad memandangkan beliau seorang tokoh muda yang sangat karismatik dan pernah belajar agama di Mesir.

Dalam pemilihan jawatan tertinggi PAS dalam Muktamar ke-5 itu, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah berjaya menewaskan pencabarnya, iaitu Prof Zulkifli Muhammad.

Pertandingan bagi jawatan tertinggi parti di antara kedua tokoh besar ini menunjukkan kematangan ahli-ahli serta amalan dan suasana demokrasi dalam PAS sejak awal-awal penubuhannya.

Muktamar seterusnya memilih Prof Zulkifli Muhammad menjadi Timbalan Yang Dipertua Agung PAS. Gabungan mereka berdua inilah yang terus memantapkan PAS. Selepas diberikan amanah memimpin PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmy menunjukkan betapa gigihnya beliau melaksanakan tugas tersebut.

Pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy dalam PAS adalah yang paling lama jika dibandingkan dengan tempoh beliau berada dalam mana-mana parti terdahulu yang disertanya. Malah hayatnya ditutup dalam PAS. Bahkan pada zamannya juga PAS berkembang dengan luasnya.

Tugas memimpin PAS dilaksanakan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmy walaupun sebahagian dari tempoh ini dilaluinya semasa menjalani penahanan dan sekatan tanpa bicara di bawah ISA.

Seorang Demokrat Berperlembagaan

Selaras dengan dasar PAS mengambil bahagian dalam pilihanraya untuk mendapatkan suara rakyat bagi mengukuhkan perjuangan Islam, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menjadi calon PAS dalam pilihanraya 1959. Beliau menang dan menjadi wakil rakyat Pas bagi kerusi Parlimen Besut, Terengganu.

Pada masa itu sistem pilihanraya Dewan Undangan Negeri dijalankan mengikut negeri ke negeri. Negeri paling akhir selepas Terengganu adalah Kelantan.

Dengan sistem seperti ini, Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan pimpinan PAS telah menyusun tenaga kerja jentera PAS dipindahkan dari satu negeri ke satu negeri.

Di Dewan Undangan Negeri Terengganu, PAS menang 13 daripada 24 kerusi dan berjaya membentuk kerajaan negeri di Terengganu.

Manakala di peringkat Parlimen pula, calon-calon PAS menang empat kerusi, iaitu Ustaz Hasan Adli di Kuala Terengganu Utara, Khadijah Sidek di Dungun, Harun Pilus di Terengganu Tengah dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy di Besut.

Dengan kemenangan ini, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy menggunakan kempen ”Kalau di Terengganu PAS boleh menang, kenapa Kelantan tidak?”

Ternyata taktik ini berkesan sekali sehingga PAS memenangi 28 daripada 30 kerusi Dewan Undangan Negeri dan berjaya membentuk kerajaan di Kelantan.

PAS juga memenangi sembilan daripada sepuluh kerusi Parlimen di Kelantan.

Dalam konteks yang lebih luas, Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga telah mempertahankan amalan demokrasi di atas dasar Perlembagaan yang sedia ada. Di atas sebab itu beliau menentang penubuhan Malaysia. Baginya, penubuhan Malaysia adalah bertentangan dengan konsep Persekutuan yang memberi ruang yang luas bagi pembangunan setiap negeri di bawahnya.

Menurutnya, dengan wujudnya Malaysia, maka ”mahu tidak mahu Kelantan menjadi satu bahagian di bawah kekuasaan Malaysia”. Dr. Burhanuddin Al-Helmy mahu kerajaan Pusat bersikap lebih demokratik dengan merundingkan penubuhan Malaysia dengan kerajaan negeri terlebih dahulu.


Di bawah pimpinannya, kerajaan PAS Kelantan telah mengheret isu Malaysia ke mahkamah bagi mendapatkan injuksi penanguhan pembentukan Malaysia.


Ternyata pendekatan dan ketokohan Dr. Burhanuddin Al-Helmy serta pemimpin-pemimpin PAS yang lain pada masa itu amat diterima rakyat, khasnya di kalangan kaum Melayu.


Kejayaan PAS dalam pilihanraya 1959 juga membuktikan PAS adalah sebuah parti politik dan gerakan Islam yang bersedia memanfaatkan saluran sistem demokrasi yang bersesuaian dengan Islam bagi tujuan memajukan Islam, rakyat dan negara.


Di atas kejayaan ini, kerajaan Perikatan menggunakan taktik kotor untuk menghalang kemaraan PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy. Satu langkah licik telah digunakan untuk menghalang Dr. Burhanuddin Al-Helmy daripada mempertahankan kerusi Parlimen Besut.


Dalam pilihanraya 1964, Suruhanjaya Pilihanraya telah mengisytiharkan Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak layak bertanding kerana telah didenda sebanyak $25,360 oleh sebuah mahkamah atas satu kesalahan teknikal dalam sebuah syarikat perniagaan.


Sumbangan kepada Gerakan Islam


Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah seorang pemimpin politik Islam yang mendahului zamannya.


Beliau adalah seorang yang progresif, realistik, berpandangan global serta sentiasa bertindak berpandukan prinsip-prinsip Islam.


Beliau progresif kerana beliau menolak sebarang bentuk dan unsur kolonialisme. Motivasi utama dalam perjuangan politiknya dalah untuk memerdekan rakyat Tanah Melayu – bahkan seluruh bumi Asia – daripada penjajahan, sama ada penjajahan dari Barat mahupun dari Timur.


Beliau realistik kerana belaiu sentiasa bersikap terbuka dan bersedia bekerjasama dengan mana-mana pihak – parti politik bukan Melayu atau bukan berasaskan Islam – yang memiliki cita-cita dan tujuan yang sama, iaitu untuk sama-sama mencapai matlamat perjuangan membebaskan rakyat daripada penjajahan.


Dari satu sudut Dr. Burhanuddin Al-Helmi adalah seorang ahli politik yang bersikap praktikal dan realistik kalaupun tidak pragmatik.


Pendekatannya terbuka. Pengalaman silamnya sebelum menerajui PAS yang sentiasa bersedia bekerjasama untuk mengejar cita-cita bersama - iaitu kemerdekaan – telah berjaya menempatkan PAS dalam kancah arus perdana politik negara pada masa itu.


PAS dilihat ada kelainan tetapi tokoh PAS ini tidak lain dan asing bagi mereka yang sama-sama mahu mengejar cita-cita kemerdekaan.


Pakatan politik yang diwujudkan olehnya dengan parti-parti bukan Melayu dan bukan berasaskan Islam telah melonjakkan PAS sebagai sebuah parti yang berjuang di atas satu ideologi yang jauh lebih jelas daripada UMNO.


Kelainan inilah yang sebut oleh pimpinan PAS hari ini sebagai aqidah perjuangan. Dalam bahasa Dr. Burhanuddin Al-Helmy ia disebut sebagai ideologi perjuangan.


Ini kerana pada masa pemimpin-pemimpin UMNO terperangakap dengan persoalan politik perkauman dan perjuangan kebangsaan yang sempit, PAS di bawah pimpinan Dr. Burhanuddin Al-Helmy berjaya meyakinkan rakyat bahawa akar umbi masalah rakyat Tanah Melayu adalah warisan penjajahan yang berupa penindasan ekonomi dan politik serta sistem kapitalis global yang menindas dan memperhambakan pribumi tanah jajahan.


Dr. Burhanuddin Al-Helmy juga mendedahkan kepincangan masyarakat apabila sejumlah elit politik pribumi bersekongkol melindungi dan mempertahankan penindasan sistem penjajah ini.


Karya dan Penulisan


Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah menghasilkan buku yang bercorak politik antaranya:


• Perjuangan Kita, 1946
• Falsafah Kebangsaan Melayu, 1947
• Agama dan Politik, 1954,
• Ideologi Politik Islam, 1957 Namanya Diabadikan


Dr. Burhanuddin Al-Helmy meninggal dunia pada 25 Oktober 1969 berpunca daripada serangan lelah. Sebenarnya Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah jatuh sakit semasa dalam tahanan ISA. Ketika beliau dibebaskan dengan sekatan kawasan pada tahun 1966, penyakitnya masih belum sembuh.


Namanya diabadikan di sebuah sekolah di Taiping dan nama jalan di Taman Tun Dr. Ismail, Damansara, Selangor.


Beliau dianugerah pingat emas Commander of World Order of Human Merit daripada I’Ordre Universal du Merit Human, Geneva pada 15 November 1959 di atas sumbangannya dalam pembangunan perubatan homeopati.


Tamat

Bhg 1: Dr. Burhanuddin Al-Helmy(1911 – 1969)

Saari Sungib |abuurwah@gmail.com |

Latar Belakang

Amir Burhanuddin bin Ungku Muhammad Nor dilahirkan pada 28 Ogos 1911 di Changkat Tualang, Perak.

Burhanuddin Al-Helmy mendapat pendidikan awal di kelas Al-Quran dan agama dan sekolah Melayu. Dia dihantar ke Sekolah Agama Sungai Jambu, Sumatra Barat pada tahun 1924 hingga 1926.



Pada tahun 1926, Burhanuddin Al-Helmy meneruskan pelajarannya di Pondok Pulau Pisang, Jitra, Kedah. Seterusnya dari situ ke Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Pulau Pinang hingga tamat kelas senawi pada tahun 1934.

Burhanuddin Al-Helmy telah mendapat biasiswa seorang hartawan India muslim dari Pulau Pinang untuk melanjutkan pelajarannya di Universiti Aligarh. Di universiti tersebut Burhanuddin Al-Helmy mengambil bidang sastera dan falsafah.

Beliau dianugerahkan PhD daripada Universiti Aligarh, India.

Sekembalinya dari pelajarannya di India dan pengembaraannya ke Palestin dan Turki, Burhanuddin Al-Helmy kembali bertugas sebagai guru bahasa Arab di Sekolah Arab Al-Juned Singapura.

Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy belajar ilmu perubatan homeopati daripada Dr. Rajah dan beliau telah berjaya mendapat ijazah daripada Ismailiyah Medical College, Hyderabad, India.

Dengan kelayakan ini, Burhanuddin Al-Helmy telah membuka sebuah klinik di Johor Bahru dan sebuah lagi klinik di Jalan Picitan, Singapura.

Seorang Aktivis Dakwah dan Politik

Pembabitan awal Burhanuddin Al-Helmy:
· Penerbit majalah Taman Bahagia, Singapura
· Penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat, Singapura
· Ahli Persatuan Jama’atul Islamiah
· Ahli Kesatuan Melayu Muda (KMM), 1939
· Penasihat Adat Istiadat dan Kebudayaan Melayu semasa pendudukan Jepun
· Pemimpin Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS), 1945
· Ketua Umum Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), 1945
· Pengerusi PUTERA-AMCJA, 1947
· Ahli Jawatankuasa Perhubungan Bangsa-bangsa Asia, 1947
· Ahli pengasas PEPERMAS, 1947
· Ahli pengasas MATA, 1947
· Ahli pengasas Hizbul Muslimin, 1948
· Wakil Malaya di Persidangan Afro-Asia Bandung, 1955
· Jurucakap Barisan Kebangsaan Melayu, 1955
· Melancarkan penubuhan Parti Rakyat Malaya, 1955

Pengaruh Awal Pemikiran

Semasa belajar di Jambu, Sumatera Barat (1924-1926), Burhanuddin Al-Helmy berada di bawah asuhan Haji Nuruddin, anggota Sarekat islam Indonesia. Di samping itu guru-guru yang mengajar dan mendidik beliau di sana terdiri di kalangan aliran Kaum Muda.

Semasa di Madrasah Al-Masyhur Al-Islamiah, Kepala Batas, Burhanuddin Al-Helmy juga terdedah dengan pemikiran Kaum Muda. Aliran inilah yang telah menyalakan semangat anti-penjajah dan pro-kemerdekaan dalam diri beliau.

Semasa belajar di India pula pada tahun 1928, Burhanuddin Al-Helmy mengikuti pergerakan Mahatma Gandhi serta berkenalan dengan Mohd Ali Jinnah dan Pandit Nehru dan pemimpin-pemimpin kemerdekaan India yang lain.

Selepas tamat pelajarannya di Universiti Aligarh, India Burhanuddin Al-Helmy telah mengembara ke Palestin dan Turki. Beliau mengikuti perkembangan umat Islam di sana.

Ketika di Singapura, Burhanuddin Al-Helmy telah bergiat cergas dalam pergerakan-pergerakan Islam di pulau tersebut. Beliau menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British yang akibatnya dia ditahan oleh pihak British di sana.

Selepas itu, Burhanuddin Al-Helmy terus bergiat pula dengan persatuan Jama’atul Islamiah dan menjadi penyunting majalah Kehidupan Dunia Akhirat.

Ditahan dan Merengkok dalam Penjara

Selepas tamat pelajarannya di India, Burhanuddin Al-Helmy mengembara ke Palestin dan Turki. Semasa di Turki belaiu ditahan kerana terlibat dalam gerakan anti-British di sana.

Ketika di Singapura pada pertengahan 1930an, Burhanuddin Al-Helmy telah menerbitkan majalah Taman Bahagia yang bercorak anti-British. Satu jam selepas edisi pertama majalah ini diterbitkan, beliau ditahan oleh pihak British. Beliau dipenjarakan selama enam bulan.

Terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dibebaskan selepas membayar wang ikat jamin sebanyak $1,000.

Pada tahun 1950, Burhanuddin Al-Helmy telah ditahan oleh British akibat Peristiwa Natrah. Dia dituduh terlibat dalam demonstrasi menentang keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang membenarkan Natrah (Maria Hertogh) dipulangkan kepada keluarga asalnya di Belanda.

Dia telah dipenjara selama satu tahun. Namun, terdapat juga catatan yang menyatakan beliau dipenjarakan selama tiga tahun di Singapura ekoran peristiwa tersebut, iaitu dari dari tahun 1950 hingga 1952.

Terdapat catatan yang peristiwa Natrah itu hanya sebagai alasan bagi pihak British menahan Burhanuddin Al-Helmy.

Sebenarnya Burhanuddin Al-Helmy ditahan oleh British kerana semasa Darurat pada 1948, beliau menyeru secara terbuka orang Melayu jangan menyerang kaum gerila Cina yang berjuang melawan British di dalam hutan.

Peristiwa Natrah hanya dijadikan alasan oleh pihak British. British tidak boleh menahan Burhanuddin Al-Helmy yang bergiat masa itu di Singapura kerana pulau tersebut tidak tertakluk kepada undang-undang Darurat yang hanya dikuatkuasakan di Semenanjung Tanah Melayu.

Burhanuddin Al-Helmy menentang penubuhan Malaysia pada tahun 1963. Ini menyebabkan dia ditahan di bawah ISA pada bulan Januari 1965 kerana dituduh terlibat dalam kerajaan buangan di Riau, Indonesia.

Burhanuddin bin Al-Helmy jatuh uzur semasa dalam tahanan. Pada bulan Mac 1966, beliau dibebaskan bersyarat dan dikenakan sekatan kawasan. Di antara syaratnya adalah beliau tidak dibenarkan melibatkan diri dalam politik. Syarat tersebut ditarik balik hanya pada 22 September 1969.

Tokoh Perjuang Kemerdekaan

Dr. Burhanuddin Al-Helmy adalah antara tokoh ulung perjuangan kemerdekaan.
Beliau bergiat cergas dalam KMM dengan tujuan menentang penjajahan British.
Semasa pendudukan Jepun, Burhanuddin Al-Helmy dan beberapa orang rakannya mengambil strategi licik. Ini diungkapnya sebagai:

”Maka ahli-ahli kebangsaan Melayu kiri telah mengambil langkah Musa dalam istana Firaun. Ada yang tinggal di dalam, ada yang tinggal di luar mengambil bahagian di hutan di ruimba jadi anti-fascist ada yang menjalankan gerakan rayap – semut api – harimau dan sebagainya”

Dengan sokongan pihak Jepun, beliau bersama-sama Ibrahim Yaacob memimpin KRIS membuat persetujuan dengan Seokarno dan Mohd Hatta di Taiping untuk mengisytiharkan kemerdekaan serentak di Tanah Melayu dan Indonesia pada 17 Ogos 1945.

Tetapi Jepun menyerah kalah pada 14 Ogos 1945.

Seokarno meneruskan rancangannya mengisytiharkan Indonesia merdeka dari Belanda pada 17 Ogos 1945.

Dr. Burhanuddin Al-Helmy tidak dapat berbuat demikian memandangkan perkembangan yang amat berbeza di Tanah Melayu ketika itu.

Selepas Jepun berundur, PKMM ditubuhkan sebagai satu kesinambungan daripada KMM. Dr. Burhanuddin Al-Helmy menjadi Ketua Umum PKMM yang pertama.

Semasa diadakan kongres PKMM ke-2 di Melaka pada Disember 1946, Dr. Burhanuddin Al-Helmy telah disambut hebat oleh pelbagai lapisan kaum di sana. Dalam ucapan tersebutlah Burhanuddin Al-Helmy melafazkan pantun pusakanya yang terkenal:

Di atas robohan Kota Melaka;
Kita Dirikan Jiwa Merdeka;
Bersatu padulah segenap baka;
Membela hak keadilan pusaka.

Pembabitan Burhanuddin Al-Helmy dalam PUTERA, PEPERMAS, MATA dan Hizbul Muslimin sepanjang tahun 1947-1948 adalah juga dengan tumpuan menyemarakkan perjuang mencapai kemerdekaan Tanah Melayu.

Di antara kemuncak perjuangannya menuntut kemerdekaan adalah apabila Burhanuddin Al-Helmy sebagai pengerusinya telah menerajui Sepuluh Dasar PUTERA-AMCJA beserta bendera merah putih duabelas bintang kuning sebagai melambangkan Malaya Merdeka.
Pembabitannya melancarkan Parti Rakyat Malaya sebaik sahaja Ahmad Boestamam dibebaskan dari penjara pada tahun 1955 juga adalah dalam konteks menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Pada masa itu politik kiri adalah bermaksud anti-British. Mereka yang mengambil sikap no-cooperation terhadap penjajah British di anggap sebagai ”kiri”. Sedangkan mereka yang bersikap cooperation seperti UMNO, dianggap ”kanan”.

Siri 2: Dato’ Profesor Zulkifli Muhammad(1927 – 1964)

Saari Sungib |abuurwah@gmail.com |

Sumbangan kepada Gerakan Islam: Ahli Parlimen yang Berjaya
Sepanjang tahun 1959 hingga 1964 penglibatan Zulkifli Muhammad paling menonjol sebagai seorang Ahli Parlimen.

Beliau menggunakan seluruh peluang yang ada sebagai seorang wakil rakyat bagi menyuarakan pandangannya dalam pelbagai isu yang berkaitan dengan masyarakat.
Beliau merupakan wakil rakyat yang sentiasa berada dalam dewan pada setiap persidangan. Sama ada persidangan berjalan selama satu minggu atau dua minggu atau sebulan mahupun dua bulan, Zulkifli Muhammad tetap berada dalam persidangan tersebut.

Demikian juga, sama ada persidangan berakhir pada pukul 6:30 petang atau pukul 10:00 malam atau pukul 1:00 pagi, Zulkifli Muhammad tetap berada sehingga akhir persidangan.

Zulkifli Muhammad mencatat sejarah apabila berucap selama empat jam di Dewan Rakyat berhubung dengan Rang Undang-undang Malaysia.

Di sidang Parlimen, beliau mendesak supaya kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menarik balik pengiktirafan ke atas negara Israel kerana kewujudannya telah menafikan hak rakyat Palestin.

Zulkifli Muhammad juga menyarankan agar kerajaan persekutuan menghantar memorandum ke PBB membantah tindakan ganas Perancis ke atas Algeria.
Di sidang Parlimen juga Zulkifli mencadangkan supaya kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan sebuah komanwel negara-negara Islam.

Zulkifli Muhammad juga bercakap tentang membanteras amalan rasuah, menggalakkan masyarakat desa terlibat dalam industri kecil, ancaman getah tiruan dan memajukan industri getah tanah air serta pembangunan bandar agar tidak tertumpa di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya semata-mata.

Zulkifli Muhammad sering secara tajam di Parlimen menyeru agar kerajaan wajib berhemah dan berhati-hati dalam menggunakan wang negara. Beliau mahu tidak sesen pun wang negara dikeluarkan secara sia-sia. Ini kerana menurutnya, wang negara adalah wang hasil titik peluh rakyat.

Oleh yang demikian tidak hairanlah bila dia dipilih sebagai anggota dalam Jawatankuasa Kewangan Negara. Pandangan dan syor-syor yang telah diberikan semasa menganggotai jawatankuasa tersebut amat berguna kepada kesejahteraan negara.
Zulkifli Muhammad juga berhujah panjang lebar menyeru kerajaan agar meningkatkan usaha menaikkan status Islam memandangkan sikap liberal UMNO dalam persoalan agama Islam.

Pernah seorang ahli Parlimen Perikatan dari Pahang secara rahsia menemui Zulkifli Muhammad meminta beliau menyuarakan hak istimewa bangsa Melayu dalam sidang berikutnya. Ini kerana tidak ada ahli Parlimen yang mampu berucap selantang Zulkifli Muhammad apabila menyentuh kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini.

Ketika Tun Abdul Razak merayu agar Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau ISA pada tahun 1960, Zulkifli Muhammad dan ahli-ahli Parlimen PAS memberi amaran bahawa akta seumpama itu amat mudah disalahguna demi kepentingan politik UMNO-Perikatan.

Ternyata amaran tersebut menjadi kenyataan apabila ribuan aktivis politik pembangkang termasuk ahli-ahli Parlimen PAS seperti Nik Abdullah Arshad dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy sendiri ditahan kemudian di bawah akta tersebut.
Dengan kelantangannya inilah, Zulkifli terkenal sebagai seorang pemimpin PAS dan di antara Ahli Parlimen yang terulung pada zamannya.

Pemergiannya

Zulkifli Muhammad meninggal dunia bersama isterinya dalam satu kemalangan jalan raya yang ngeri dekat Kuantan.
Kematian mereka berlaku di tengah-tengah kesengitan persengkataan politik di antara PAS dengan UMNO. Bahang kempen pilihanraya 1964 pun masih belum reda. Zulkifli Muhammad baru saja menang mempertahankan kerusi Parlimen Bachok bagi penggal kedua.

Berbagai tanggapan dan sangkaan muncul ketika itu. Untuk mengelakkan desas-desus ini Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia terpaksa membuat ucapan dalam Dewan Parlimen menerangkan kematian Zulkifli Muhammad bukannya kerana angkara perbuatan khianat.

Kata Tunku Abdul Rahman, ianya adalah satu tragedi kemalangan dan takdir Tuhan.
Berita kematian Zulkifli Muhammad dan isterinya disiarkan menerusi Radio Malaysia pada pukul 10:00 pagi, 6hb Mei 1964.

Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak mengarahkan jenazah Zulkifli Muhammad dan isterinya diterbangkan dengan kapal terbang khas Tentera Udara Diraja Malaysia dari lapangan terbang Kuantan ke lapangan terbang Ipoh. Dari lapangan terbang Ipoh jenazah dibawa dengan kereta mayat Jabatan Ugama Islam Perak ke rumah bapa Zulkifli Muhammad di kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar.

Pada hari pengkebumian jenazah Zulkifli Muhammad dan isterinya, lebih dari 10,000 orang termasuk pemimpin-pemimpin negara, para duta negara asing, rakan-rakan seperjuangan, ahli-ahli UMNO dan orang ramai membanjiri tanah pusara tempat mereka disemadikan.

Karya Penulisan

Zulkifli Muhammad telah menghasilkan tiga buah buku:

· Masyarakat dan Syariat
· Analisa tentang Beberapa Masalah Hidup
· Pegangan Hidup Umat Islam

Pegangan Hidup Umat Islam ditulis oleh Zulkifli ketika terlantar selama lapan bulan di hospital sekembalinya dari Mesir.
Sepanjang tahun 1945-1947 Zulkifli turut melahirkan idea-idea kreatif yang progresif melalui sajak-sajak yang diterbitkan dalam majalah-majalah tanah air seperti Medan Masyarakat, Mastika, Qalam, Penghidupan, Hiburan dan Pembangunan.
Sajak-sajaknya berunsurkan semangat kebangsaan yang kental diadun dengan tuntutan Islam yang kukuh dan mendalam.
Selain daripada itu, Zul juga banyak menghasilkan tulisan yang berupa rencana seperti:

· Falsafah Akhlak dalam Islam
· Umat Islam Sekarang Makin Mundur
· Peranan Filem dalam Masyarakat
· Economic Justice
· Kebangkitan Ekonomi Menurut Pandangan Islam

Pejuang Bahasa Melayu

Bagi memastikan bahasa Kebangsaan terus berkembang pesat, Zulkifli Muhammad menyeru supaya kerajaan menyegerakan pembinaan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.
Zulkifli Muhammad menyokong cadangan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai satu institusi yang akan memartabatkan Bahasa Melayu.

Anugerah

Usaha Zulkifli Muhammad dalam penubuhan Kolej Islam Malaya telah mendapat pengiktirafan daripada Universitas Sawerigading (UHSA), Indonesia yang telah menganugerahkannya gelaran Profesor Kehormat pada 15 Julai 1957.

Bagi mengenang jasanya, Tuanku Yahya Petra, Sultan Kelantan berkenan menganugerhkan bintang Dato’ Paduka Mahkota Kelantan (D.P.M.K.) yang membawa gelaran Dato’ kepada Zulkifli Muhammad

Namanya diabadikan pada sebuah dewan di Kota Bharu, Kelantan. Dewan yang dinamakan Dewan Zulkifli Muhammad itu terus menjadi tempat yang penuh keberkatan kerana pelbagai majlis ilmu secara berterusan dianjurkan di situ.

BHG 1: Dato' Profesor Zulkifli Muhammad (1927 – 1964)

Saari Sungib |abuurwah@gmail.com|

Sumbangan kepada Gerakan Islam: Ahli Parlimen yang Berjaya

Sepanjang tahun 1959 hingga 1964 penglibatan Zulkifli Muhammad paling menonjol sebagai seorang Ahli Parlimen.

Beliau menggunakan seluruh peluang yang ada sebagai seorang wakil rakyat bagi menyuarakan pandangannya dalam pelbagai isu yang berkaitan dengan masyarakat. Beliau merupakan wakil rakyat yang sentiasa berada dalam dewan pada setiap persidangan.

Sama ada persidangan berjalan selama satu minggu atau dua minggu atau sebulan mahupun dua bulan, Zulkifli Muhammad tetap berada dalam persidangan tersebut. Demikian juga, sama ada persidangan berakhir pada pukul 6:30 petang atau pukul 10:00 malam atau pukul 1:00 pagi, Zulkifli Muhammad tetap berada sehingga akhir persidangan.

Zulkifli Muhammad mencatat sejarah apabila berucap selama empat jam di Dewan Rakyat berhubung dengan Rang Undang-undang Malaysia. Di sidang Parlimen, beliau mendesak supaya kerajaan Persekutuan Tanah Melayu menarik balik pengiktirafan ke atas negara Israel kerana kewujudannya telah menafikan hak rakyat Palestin.

Zulkifli Muhammad juga menyarankan agar kerajaan persekutuan menghantar memorandum ke PBB membantah tindakan ganas Perancis ke atas Algeria. Di sidang Parlimen juga Zulkifli mencadangkan supaya kerajaan mengambil inisiatif menubuhkan sebuah komanwel negara-negara Islam.

Zulkifli Muhammad juga bercakap tentang membanteras amalan rasuah, menggalakkan masyarakat desa terlibat dalam industri kecil, ancaman getah tiruan dan memajukan industri getah tanah air serta pembangunan bandar agar tidak tertumpa di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya semata-mata.

Zulkifli Muhammad sering secara tajam di Parlimen menyeru agar kerajaan wajib berhemah dan berhati-hati dalam menggunakan wang negara. Beliau mahu tidak sesen pun wang negara dikeluarkan secara sia-sia. Ini kerana menurutnya, wang negara adalah wang hasil titik peluh rakyat. Oleh yang demikian tidak hairanlah bila dia dipilih sebagai anggota dalam Jawatankuasa Kewangan Negara. Pandangan dan syor-syor yang telah diberikan semasa menganggotai jawatankuasa tersebut amat berguna kepada kesejahteraan negara.

Zulkifli Muhammad juga berhujah panjang lebar menyeru kerajaan agar meningkatkan usaha menaikkan status Islam memandangkan sikap liberal UMNO dalam persoalan agama Islam. Pernah seorang ahli Parlimen Perikatan dari Pahang secara rahsia menemui Zulkifli Muhammad meminta beliau menyuarakan hak istimewa bangsa Melayu dalam sidang berikutnya.

Ini kerana tidak ada ahli Parlimen yang mampu berucap selantang Zulkifli Muhammad apabila menyentuh kedudukan orang Melayu dan agama Islam di negara ini. Ketika Tun Abdul Razak merayu agar Parlimen meluluskan Rang Undang-undang Keselamatan Dalam Negeri atau ISA pada tahun 1960, Zulkifli Muhammad dan ahli-ahli Parlimen PAS memberi amaran bahawa akta seumpama itu amat mudah disalahguna demi kepentingan politik UMNO-Perikatan.

Ternyata amaran tersebut menjadi kenyataan apabila ribuan aktivis politik pembangkang termasuk ahli-ahli Parlimen PAS seperti Nik Abdullah Arshad dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy sendiri ditahan kemudian di bawah akta tersebut. Dengan kelantangannya inilah, Zulkifli terkenal sebagai seorang pemimpin PAS dan di antara Ahli Parlimen yang terulung pada zamannya.

Pemergiannya Zulkifli Muhammad meninggal dunia bersama isterinya dalam satu kemalangan jalan raya yang ngeri dekat Kuantan. Kematian mereka berlaku di tengah-tengah kesengitan persengkataan politik di antara PAS dengan UMNO. Bahang kempen pilihanraya 1964 pun masih belum reda.

Zulkifli Muhammad baru saja menang mempertahankan kerusi Parlimen Bachok bagi penggal kedua. Berbagai tanggapan dan sangkaan muncul ketika itu. Untuk mengelakkan desas-desus ini Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri Malaysia terpaksa membuat ucapan dalam Dewan Parlimen menerangkan kematian Zulkifli Muhammad bukannya kerana angkara perbuatan khianat.

Kata Tunku Abdul Rahman, ianya adalah satu tragedi kemalangan dan takdir Tuhan. Berita kematian Zulkifli Muhammad dan isterinya disiarkan menerusi Radio Malaysia pada pukul 10:00 pagi, 6hb Mei 1964. Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak mengarahkan jenazah Zulkifli Muhammad dan isterinya diterbangkan dengan kapal terbang khas Tentera Udara Diraja Malaysia dari lapangan terbang Kuantan ke lapangan terbang Ipoh.

Dari lapangan terbang Ipoh jenazah dibawa dengan kereta mayat Jabatan Ugama Islam Perak ke rumah bapa Zulkifli Muhammad di kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar. Pada hari pengkebumian jenazah Zulkifli Muhammad dan isterinya, lebih dari 10,000 orang termasuk pemimpin-pemimpin negara, para duta negara asing, rakan-rakan seperjuangan, ahli-ahli UMNO dan orang ramai membanjiri tanah pusara tempat mereka disemadikan. Karya Penulisan Zulkifli Muhammad telah menghasilkan tiga buah buku: · Masyarakat dan Syariat ·

Analisa tentang Beberapa Masalah Hidup · Pegangan Hidup Umat Islam Pegangan Hidup Umat Islam ditulis oleh Zulkifli ketika terlantar selama lapan bulan di hospital sekembalinya dari Mesir. Sepanjang tahun 1945-1947 Zulkifli turut melahirkan idea-idea kreatif yang progresif melalui sajak-sajak yang diterbitkan dalam majalah-majalah tanah air seperti Medan Masyarakat, Mastika, Qalam, Penghidupan, Hiburan dan Pembangunan. Sajak-sajaknya berunsurkan semangat kebangsaan yang kental diadun dengan tuntutan Islam yang kukuh dan mendalam. Selain daripada itu, Zul juga banyak menghasilkan tulisan yang berupa rencana seperti: ·

Falsafah Akhlak dalam Islam · Umat Islam Sekarang Makin Mundur · Peranan Filem dalam Masyarakat · Economic Justice · Kebangkitan Ekonomi Menurut Pandangan Islam Pejuang Bahasa Melayu Bagi memastikan bahasa Kebangsaan terus berkembang pesat, Zulkifli Muhammad menyeru supaya kerajaan menyegerakan pembinaan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Zulkifli Muhammad menyokong cadangan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai satu institusi yang akan memartabatkan Bahasa Melayu. Anugerah Usaha Zulkifli Muhammad dalam penubuhan Kolej Islam Malaya telah mendapat pengiktirafan daripada Universitas Sawerigading (UHSA), Indonesia yang telah menganugerahkannya gelaran Profesor Kehormat pada 15 Julai 1957.

Bagi mengenang jasanya, Tuanku Yahya Petra, Sultan Kelantan berkenan menganugerhkan bintang Dato' Paduka Mahkota Kelantan ( D.P.M.K.) yang membawa gelaran Dato' kepada Zulkifli Muhammad Namanya diabadikan pada sebuah dewan di Kota Bharu, Kelantan. Dewan yang dinamakan Dewan Zulkifli Muhammad itu terus menjadi tempat yang penuh keberkatan kerana pelbagai majlis ilmu secara berterusan dianjurkan di situ.

SIRI 2:Ustaz Abu Bakar Al-Baqir(1907–1974)

Saari Sungib | abuurwah@gmail.com |

sambungan...

Pembaharuan melalui Politik Islam

Pada 14 Mac 1948, dalam Persidangan MATA, sebuah "Parti Orang-Orang Islam Malaya" atau dikenal dengan nama Hizbul Muslimin telah ditubuhkan. Nama Hizbul Muslimin telah dicadangkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dan disokong oleh Ustaz Abrab Tamimi dan Dr. Burhanuddin Al-Helmy.

Hizbul Muslimin mengambil semangat penubuhannya daripada Masjumi di Indonesia dan Ikhwan Muslimin di Timur Tengah.

Hizbul Muslimin ditubuhkan bagi memperjuangkan kemerdekaan tanahair berasaskan Islam.

Dasar parti ini adalah atas "Islam semata-mata bagi mencapai kemerdekaan bangsa Melayu yang berdaulat, menciptakan masyarakat berdasarkan Islam dan mencapai Tanah Melayu Darul-Islam".

Dalam persidangan tersebut Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dipilih menjadi Ketua Umum Hizbul Muslimin.

Tamparan kepada UMNO

Dalam persidangan penubuhan MATA di Maahad Al-Ehya Al-Sharif, pemimpin-pemimpin UMNO berasa sangat ragu-ragu dan berusaha mengelakkan diri daripada menyertainya. Tidak ramai di kalangan tokoh UMNO yang hadir dalam persidangan tersebut.

Sebaliknya pemimpin-pemimpin PKMM ramai yang hadir. Bahkan ramai anggota PKMM yang mengambil bahagian penting dalam menggerakkan beberapa jawatankuasa di bawah MATA. Keadaan ini merupakan satu tamparan yang hebat kepada UMNO yang baru saja ditubuhkan itu.

Satu lagi tamparan terhadap UMNO adalah apabila PEPERMAS ditubuhkan. Dengan penubuhan PEPERMAS ia menjadi saingan hebat kepada bahagian iktisad UMNO. Bahagian ini sedang giat merangka perancangan ekonomi lima tahunnya yang pertama dan mahukan sokongan ramai orang Melayu.

Sejak itu lagi pihak UMNO telah membuat ancaman dengan menggunakan ungkapan "bahaya dari gunung" terhadap tuntutan dan usaha yang dilakukan oleh aktivis Islam daripada MATA.

Penubuhan Hizbul Muslimin seterusnya memberi tamparan yang sangat hebat kepada UMNO. UMNO menolak penubuhan Hizbul Muslimin.

Sebaliknya, sebagai parti yang memperjuangkan kemerdekaan, PKMM menjadi parti yang sangat berdamping rapat dengan Hizbul Muslimin.

Pusat Memperjuangkan Kemerdekaan

Pada masa itu Maahad Al-Ehya Al-Sharif menjadi pusat, sedangkan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menjadi ikon bagi perjuangan kemerdekaan.

Ketika itu UMNO di bawah Dato Onn Jaafar tidak memperjuangkan kemerdekaan. Bahkan aktivis kemerdekaan sering diejek dengan kata-kata "nak buat sebatang jarum pun tak pandai, inikan mahu merdeka".


Di bawah kepemimpinann Ustaz Abu Bakar Al-Baqir beberapa persidangan bagi menyemarakkan tuntutan kemerdekaan telah diadakan.

Hubungan peribadi yang baik di antara Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dengan pemimpin PKMM seperti Dr. Burhanuddin Al-Helmi, pemimpin Melayu Parti Komunis Malaya (PKM) seperti Abdullah C.D dan juga pemimpin-pemimpin kiri seperti Ahmad Boestamam dan lain-lain menjadikan semua persidangan yang dipanggil di atas nama Ustaz Abu Bakar Al-Baqir mendapat sambutan yang amat luar biasa.

Suasana keterbukatan dan perkongsian yang diwujudkan oleh Ustaz Abu Bakar Al-Baqir menjadikan semua pihak yang mahukan Tanah Melayu merdeka, merasakan sumbangan mereka masing-masing dihargai.

Tidak hairan kenapa beberapa pendukung PKMM dan PKM beranggapan bahawa Hizbul Muslimin adalah sayap politik Islam bagi PKMM sebagaimana API adalah sayap pemuda dan AWAS adalah sayap wanita bagi PKMM.

Pada masa itu terdapat ramai anggota-anggota Melayu daripada PKM yang pada masa yang sama juga merupakan anggota dan penggerak utama bagi PKMM.

Bagi sebahagian orang Melayu, PKM pada masa itu adalah satu saluran perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan. Tambahan lagi semasa pendudukan Jepun mereka turut serta dalam Tentera Anti-Jepun Rakyat Malaya atau MPAJA. MPAJA adalah front utama PKM dalam perang gerila menentang penjajah Jepun.

Selepas berakhir Perang Dunia Kedua, pelbagai kumpulan politik Melayu kecuali UMNO, berkongsi satu cita-cita yang sama, iaitu untuk membebaskan Tanah Melayu daripada belenggu penjajahan British.

Demikian juga bagi aktivis Islam, dengan tertubuhnya Hizbul Muslimin mereka mahu menjadikan MATA sebagai jabatan agama, LEPIR sebagai jabatan pendidikan dan PEPERMAS sebagai jabatan ekonomi di bahawa Hizbul Muslimin.

Apapun, Al-Ehya dibawah pimpinan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dalam persidangan-persidangan ini telah menaik dan mengibarkan bendera merah putih berbintas duabelas yang melambangkan bendera Malaya Merdeka.

Bendera ini telah diluluskan oleh pakatan politik berbilang kaum PUTERA-AMCJA yang dipengerusikan oleh Dr. Burhanuddin Al-Helmi pada tahun 1947.

Tamparan berubah Menjadi Hasutan

Penubuhan Hizbul Muslimin menambah lagi tamparan kepada UMNO. Tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh Dato Onn Jaafar terhadap Hizbul Muslimin menyebabkan pentadbiran penjajah British melakukan pengawasan yang ketat dan tekanan yang hebat terhadap Hizbul Muslimin.

Dato Onn mengulang ancamannya dengan mengatakan: "Bahaya dari Gunung itu masih ada lagi dan ditambah pula satu merbahaya lagi yang tumbuh dari tanah dan menjalar akarnya supaya orang-orang Melayu terhapus dan terjatuh kerana sebenar-benarnya parti Islam itu 'merah"."

Keterbukan pemimpin-pemimpin Islam seperti Ustaz Abu Bakar Al-Baqir untuk bergabung tenaga dengan semua pergerakan rakyat yang menentang British dan memperjuangkan kemerdekaan dilihat sebagai ancaman oleh Dato Onn dan UMNO pada masa itu.

Lantaran itu Hizbul Muslimin dilabel oleh Dato Onn sebagai "merah" dan dengan itu Dato Onn telah berjaya menghasut penjajah British untuk menganggap parti Islam itu sebagai pro-komunis.

Pengintipan dan Penangkapan

Dengan tuduhan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO, pengintipan berterusan dilakukan terhadap Hizbul Muslimin.

Banyak pengintipan dan laporan kepada pihak polis dilakukan oleh Penghulu Muda yang baru sahaja didatangkan ke Gunung Semanggol pada awal tahun 1948. Beliau adalah saudara kepada Datuk Zainal Abidin Abas, iaitu orang kuat UMNO yang juga merupakan kawan baik kepada Dato' Onn.

Sebenarnya penghantaran Penghulu Muda itu adalah kehendak UMNO untuk mengintip pergerakan Al-Ehya dan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir.

Akhirnya Penghulu Muda itu mati dalam keadaan yang tidak baik iaitu selepas meminum arak. Kepercayaan seperti ini amat berpengaruh kepada umat Islam di Gunung Semanggol pada masa itu. Peristiwa seperti inilah yang menjadikan orang-orang Melayu di Gunung Semanggol terus menolak UMNO.

Pada pukul 12:00 tengahari, 29 Julai 1948, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditangkap di bawah Undang-Undang Darurat.

Lima Tahun Merengkok dalam Penjara

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan tanpa bicara di atas alasan "bahaya kepada keselamatan Tanah Melayu".

Beliau bersama-sama lebih 300 tokoh politik agama dan pemimpin Melayu ditahan kerana dituduh menentang British.

Tuduhan sampingan yang dikenakan sebagai alasan menahan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir adalah beliau ada berkempen menyeru orang ramai supaya jangan membeli susu dan sabun dari kedai kaum Cina di Gunung Semanggul!

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir ditahan selama enam bulan di penjara Taiping, kemudian dipindahkan sebagai tahanan politik di Pulau Jerjak. Beliau ditahan di Pulau Jerjak selama setahun setengah.

Semasa beramai-ramai di penjara Pulau Jerjak, mereka telah membuat pakatan iaitu apabila keluar nanti ada di kalangan mereka secara langsung atau tidak langsung hendaklah menjalankan jarum ke dalam UMNO untuk menukar UMNO dari slogan "Hidup Melayu" kepada slogan "Merdeka".

Kemudian Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dipindahkan ke penjara di Tanjung Beruas Melaka dan akhirnya ke penjara Ipoh.

Selepas dipenjarakan selama empat tahun tiga bulan, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir dibebaskan pada bulan Oktober 1952.

Walaupun penjajah British tidak secara rasmi mengeluarkan perintah mengharamkan Hizbul Muslimin, namun tindakan British menahan Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bersama-sama 300 orang pemimpin dan para aktivis, telah menjadikan Hizbul Muslimin lumpuh sama sekali.

Terus Berjuang

Sebagai pengasas parti lslam pertama di negara ini, Ustaz Abu Bakar al-Baqir mempunyai matlamat untuk mencapai kemerdekaan negara yang berdaulat bagi membentuk sebuah masyarakat yang berasaskan kepada kefahaman lslam serta mewujudkan Darul lslam.

Dalam pendiriannya, ia menyokong PKMM tetapi sekeras-kerasnya menolak perjuangan UMNO.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) ditubuhkan pada 17 Oktober 1945 di lpoh, Perak dan beberapa bulan selepas itu barulah UMNO ditubuhkan.

Semasa Darurat semua kegiatan politik telah diharamkan oleh British. Namun UMNO dibenarkan bergerak cergas oleh penjajah British bagi mengatur jentera ke arah pilihanraya 1955.

Dalam pilihanraya tahun 1955, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir bertanding sebagai calon Perikatan Melayu Perak menentang calon UMNO, tetapi gagal.

Ustaz Abu Bakar Al-Bakir tidak menjadi calon PAS yang telah pun ditubuhkan pada tahun 1951. Sebaliknya satu pakatan politik dan kerjasama telah diwujudkan di antara PAS dengan Perikatan Melayu Perak. Pendekatan ini adalah satu strategi yang dirasakan perlu bagi melindungi Maahad Al-Ehya Al-Sharif.

Sumbangan kepada Gerakan Islam

Walaupun aktiviti di atas nama Hizbul Muslimin berakhir disebabkan perintah Darurat, namun keghairahan sokongan rakyat khususnya dari alim ulamak terhadap perjuangan politiknya amatlah memberangsangkan.

Semangat dan sokongan kental inilah yang akhirnya merintis jalan ke arah penubuhan PAS pada tahun 1951.

Dalam hal ini, ramai ahli sejarah berpendapat penghargaan dan pengiktirafan perlulah diberikan kepada Ustaz Abu Bakar Al-Baqir, pengasas Maahad Al-Ehya Al-Sharif, pemimpin MATA, PEPERMAS, LEPIR dan seterusnya Hizbul Muslimin yang telah meletakkan asas utama bagi penubuhan PAS.

Anugerah

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah meneruskan usaha baktinya memajukan Maahad El-Ehya Al-Sharif hingga ke akhir hayatnya pada bulan Julai, 1974.

Pada tahun 1960an, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dilantik menjadi anggota Majlis Agama Perak.

Ustaz Abu Bakar Al-Baqir telah dianugerahkan pingat Jasa Perdana (J.P) dan Pingat Jasa Kebaktian ( P.J.K)

Setelah pemergiannya, Ustaz Abu Bakar Al-Baqir juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh Guru Perak 1975.